Sorting by

×

Melaka angkat karya pelukis tempatan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 17 Februari – Galeri Seni Melaka di Jalan Laksamana, di sini, bakal dijadikan pusat sehenti bagi pelukis-pelukis kelahiran Negeri Melaka.Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, pelukis-pelukis berkenaan akan dikumpulkan pada setiap hujung minggu bagi mempromosikan hasil karya mereka kepada pengunjung dan pelancong ke negeri ini.

Kata beliau, usaha itu merupakan antara langkah diambil Kerajaan Negeri bagi mengangkat peranan anak seni, khususnya pelukis yang juga menjadi antara ikon Melaka dalam sektor pelancongan.

“Ini akan menjadi satu lagi produk pelancongan baharu di Melaka dengan mengumpulkan pelukis-pelukis ini pada setiap hujung minggu dan memaparkan hasil karya seni mereka.

“Karya ini akan kita pamerkan di tingkat atas Galeri Seni dan pada masa sama, pelukis ini juga boleh menjual hasil karya atau produk-produk mereka kepada pengunjung dan pelancong.

“Saya percaya usaha ini juga dapat membantu mengangkat peranan dan martabat pelukis-pelukis dari Melaka kepada umum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas hadir ke Majlis Pelancaran Semarak Seni 2024 @Muzium Melaka Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Muzium Sejarah dan Etnografi, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, kewujudan pusat sehenti pelukis pada setiap hujung minggu itu juga amat bertepatan memandangkan ia diadakan ketika pelaksanaan inisiatif Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.

Katanya, ia sekali gus menjadi medium terbaik dalam memperkenalkan karya pelukis-pelukis tempatan kepada umum.

“Zon Bebas Kenderaan terbukti sebagai lokasi yang berjaya menarik kehadiran pelancong dan pengunjung apabila mampu merekodkan kehadiran 20,000 orang pada waktu malam.

“Ini sekali gus menjadi medan terbaik untuk pelukis-pelukis ini bukan sahaja menunjukkan hasil seni mereka, bahkan boleh menjana pendapatan hasil jualan karya mereka kepada orang ramai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post Melaka mahu jadi ‘kilang’ pemain sepak takraw
Next post Kelengkapan sekolah harga Rahmah di Melaka
Ubah saiz-+=