Sorting by

×

MELAKA AKAN PERKENAL JALAN ‘BYPASS’ KE BANDA HILIR

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 24 November – Satu laluan ‘bypass’ baharu akan diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi memudahkan akses orang ramai ke Banda Hilir.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, laluan itu akan membabitkan kawasan Mahkota Parade menuju ke Zon Bebas Kenderaan, Banda Hilir dan beberapa jalan lain.

Jelas beliau, laluan baharu itu dirancang bukan sahaja untuk meringankan aliran trafik, bahkan merancakkan lagi sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

“Banda Hilir merupakan antara kota tua di Melaka dan reka bentuk jalan telah dibuat satu abad yang lalu. Dahulu mungkin sesuai, tetapi sekarang kita perlu lakukan sesuatu.

“Sebab itulah Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi meneliti laluan ‘bypass’ ini bagi memudahkan akses orang ramai, khususnya pelancong.

“Saya percaya, jika laluan ‘bypass’ ini direalisasikan, isu kesesakan trafik bukan lagi menjadi masalah utama di kawasan tersebut,” katanya ketika bersiaran di Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV.

Menurut Hameed, sebagai Exco Kerja Raya, beliau komited untuk memastikan isu kesesakan yang berlaku di negeri ini dapat dikurangkan.

Jelas beliau, inisiatif seperti ‘No Right Turn’ yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi antara langkah yang terbukti berkesan dalam membantu kelancaran aliran trafik yang sering membelenggu pada waktu puncak.

“Walaupun pada awalnya ia mendapat tentangan, tetapi alhamdulillah sekarang semua gembira apabila aliran trafik lebih lancar dan mudah.

“Jadi, kita kini akan terus mengenal pasti inisiatif terbaik seperti ‘No Right Turn’ untuk memastikan isu kesesakan dapat kita tangani dengan sebaiknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3228
Kongsi :
Previous post MANGSA BANJIR DI MELAKA TENGAH MENURUN MALAM INI
Next post SUNGAI RAMBAI DAPAT KLINIK KESIHATAN BAHARU
Ubah saiz-+=