Melaka Agrofest 2024 sasar nilai jualan RM1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Melaka Agrofest 2024 yang dahulunya dikenali sebagai Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Melaka menyasarkan nilai jualan RM1 juta dalam tempoh tiga hari, bermula semalam.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, dalam tempoh tersebut penganjuran itu dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

Menurut beliau, pelbagai tarikan menarik disediakan untuk pengunjung antaranya gerai pameran dan jualan produk pertanian serta perladangan, selain acara utama iaitu ‘Kendurian’ atau kenduri durian yang menawarkan tiga pakej kepada pengunjung termasuk agihan durian secara percuma.

“Selain itu, keunikan istimewa pada tahun ini ialah penganjuran Malam Melaka Berselawat dan Ceramah Perdana Melaka Agrofest yang membawakan penceramah terkenal iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman.

“Menariknya, kita turut menyediakan hadiah cabutan bertuah berupa pakej umrah kepada pengunjung pada malam itu nanti.

“Jadi, saya menjemput semua untuk datang memeriahkan Melaka Agrofest 2024 kerana pelbagai tarikan yang disediakan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalannya Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal turut menggalakkan mereka yang berminat dalam bidang pertanian atau penternakan untuk datang ke festival tersebut bagi mendapatkan ilmu-ilmu berharga daripada jabatan dan agensi kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post Bot terbalik di Segenting, empat nelayan hilang
Next post Melaka terima RM21 juta perkasa 6 projek agro
Ubah saiz-+=