Melaka Agrofest 2023 sasar nilai jualan RM1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 14 Jun – Kerajaan Negeri menyasarkan nilai jualan RM1 juta menerusi penganjuran Melaka Agrofest 2023 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun ini di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjuran julung kali itu membabitkan lebih 60 gerai jualan termasuk pameran daripada agensi dan jabatan kerajaan.

Beliau berkata, Melaka Agrofest merupakan penjenamaan semula daripada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Melaka yang sebelum ini disambut setiap tahun.

“Bertemakan Sekuriti Makanan Tanggungjawab Bersama, kita menyasarkan seramai 25,000 pengunjung akan hadir dengan sasaran jualan berjumlah RM1 juta.

“Sepanjang tiga hari penganjuran yang akan berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh, itu pelbagai tarikan utama turut diadakan antaranya jualan dan promosi Agro Madani produk Industri Asas Tani dan Produk Segar Melaka, serta libat urus usahawan.

“Malah selain jualan makanan popular negeri Melaka terdapat juga Karnival Pendidikan daripada universiti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Melaka Agrofest 2023, di Wisma Negeri, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertanian Melaka Rosli Azizi Talib dan Timbalan Panglima 10 Brigade (Para) Kolonel Khairul Anwar Soib.

Dr. Muhamad Akmal berkata, selain dapat membeli barangan keperluan dengan harga lebih rendah daripada pasaran, pengunjung juga berpeluang mendapat nanas secara percuma.

“Apa yang menariknya, pengunjung juga ditawarkan ayam segar dengan harga RM10 seekor selain terdapat Kombo Madani dengan harga serendah RM20 untuk setiap satu.

“Dalam pada itu pengunjung turut berpeluang menyertai sukaneka tradisional seperti pertandingan tarik upih, congkak, mengopek kerang dan makan durian, selain acara meneka berat lembu sado.

“Sejumlah RM47,000 hadiah kemenangan diperuntukkan bagi 15 pertandingan yang dipertandingkan sepanjang berlangsung Melaka Agrofest 2023 itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2655
Kongsi :
Previous post Projek tambak pasir Pantai Telok Gong atasi hakisan
Next post Melaka cadang wujudkan Taman Perindustrian Jerman
Ubah saiz-+=