Melaka agih dos penggalak ke klinik komuniti, desa – Dr Akmal
AYER KEROH 22 Dis – Kerajaan negeri akan mengagihkan dos penggalak (booster) vaksin COVID-19 kepada semua klinik komuniti dan klinik desa bagi memudahkan masyarakat khususnya di kawasan pedalaman negeri ini menerima suntikan dos itu dalam kadar segera.
Exco Kesihatan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya bagaimanapun telahpun mencadangkan perkara itu bersama Menteri Kesihatan supaya ianya difokuskan kepada kawasan luar bandar.
“Dos ‘booster’ ini di Melaka setakat semalam baharu mencapai 20 peratus iaitu melibatkan seramai 120,000 penerima daripada keseluruhan penduduk di negeri ini.
“Tapi dalam tempoh sebulan kehadapan kita akan pertingkat dan perbanyakkan lagi pusat-pusat pengambilan vaksin dos ketiga ini termasuk di klinik komuniti dan desa, sebelum ini hanya di beberapa klinik swasta dan klinik kesihatan negeri saja.
“Semalam juga ada perbincangan dengan Menteri Kesihatan secara dalam talian, saya juga telah mencadangkan bahawa kita akan guna pakai klinik komuniti dan desa yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Perayaan Krismas 2021 yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Dewan Bistari di sini, hari ini.
Ujarnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga berusaha memberikan dos penggalak itu kepada semua klinik swasta di Melaka bagi memastikan ia dapat disampaikan dengan kadar cepat dan berkesan.
“Sebelum ini hanya berlaku di klinik-klinik yang tertentu tetapi dia punya penerimaan itu agak perlahan sebab itu baru 20 peratus.
“Tetapi bila dah diwartakan bahawa semua penerima vaksin Sinovac perlu mendapatkan ‘third booster’, manakala Pfizer berumur 65 keatas wajib diklafisikasikan sebagai vaksinasi lengkap, jadi kita jangkakan dalam sebulan kehadapan akan ada lebih ramai masyarakat tampil dapatkan booster ini.
“Dulu orang kampung kena pergi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang jauh dari kampung sedangkan kampung itu ada klinik desa, tapi kali ini kita cuba menggerakkan semua fasiliti milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sampaikan kepada mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.