MELAKA ADAKAN JELAJAH ‘TOWN HALL’ DI SETIAP IPT
KUALA LINGGI 14 Januari – Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengadakan jelajah ‘town hall’ di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) di Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia bertujuan untuk mendengar dengan lebih jelas, lontaran suara anak-anak muda mengenai prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri serta mengangkat apa jua cadangan dan idea para mahasiswa.
Beliau memaklumkan, sesi dialog itu juga berperanan memberi penjelasan dan penerangan berkaitan segala usaha Kerajaan Negeri terhadap inisiatif mahupun pelaksanaan program-program dengan lebih holistik dan terperinci.
“Seperti sesi Town Hall di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) bersama 400 pelajar ini pelbagai topik telah dibawakan bagi kita menyampaikan segala maklumat berkaitan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri, selain mendengar suara dan aspirasi mereka.
“Terdapat tiga topik utama yang disentuh pada sesi town hall ini berkaitan landskap politik semasa; pemerkasaan kemahiran TVET dalam kalangan mahasiswa dan dasar pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Town Hall Ketua Menteri Melaka Bersama Mahasiswa Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Sempen Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi di UNIMEL, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Timbalannya, Datuk Rosli Abdullah dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba dan Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly dan kenamaan lain.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Ab Rauf memaklumkan terdapat empat kepentingan mahasiswa memahami landskap politik negara.
Kepentingan pertama, ujar beliau, adalah menguasai kerajaan kerana dasar-dasar yang digubal adalah daripada kerajaan yang dikuasai oleh politik dan memahami politik akan membantu anak-anak muda membuat keputusan dengan lebih bijak dalam memilih pemimpin dan memahami bagaimana dasar-dasar tersebut mempengaruhi masa depan negara.
“Kedua, politik adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial rakyat yang juga memerlukan keterlibatan generasi muda.
“Dalam dunia yang serba pantas ini, isu-isu seperti perubahan iklim, hak asasi manusia, kemiskinan, dan ketidaksamaan sosial sangat bergantung pada keputusan politik. Dengan memahami landskap politik, generasi muda dapat mengenali dan memberi respons kepada isu-isu yang relevan.
“Kepentingan terakhir, masyarakat kini dipenuhi dengan pelbagai maklumat, termasuk berita palsu dan propaganda. Jika generasi muda tidak memahami politik, mereka lebih mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.