Melaka ada 6 destinasi untuk ‘Thallasophile’
THALLASOPHILE merupakan gelaran untuk individu yang menyukai pantai. Bagi mereka yang menyukai pantai untuk ‘healing’ atau melayan jiwa, Melaka adalah destinasi tepat untuk anda lawati.
Bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Melaka Hari Ini menyenaraikan enam pantai yang boleh dijadikan tempat untuk anda melayan perasaan…
1. Pantai Tanjung Bidara
Pantai Tanjung Bidara merupakan pantai yang landai berpasir putih halus dan menjadi destinasi sesuai untuk berkelah bersama keluarga.
Terletak hanyalah dua kilometer (km) dari Kem Terendak dan 10 km dari pekan Masjid Tanah, pantai ini sesuai untuk lokasi mandi-manda dan pengunjung tidak perlu terlalu risau untuk berseronok kerana turut terdapat Menara Kawalan Pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di pantai terbabit, selain kemudahan awam yang lengkap untuk pengunjung.
2. Pantai Padang Kemunting
Padang Kemunting merupakan satu lagi pantai yang terletak di Masjid Tanah yang mana ia juga sering menjadi destinasi pilihan untuk keluarga bersantai sambil menikmati bayu laut.
Kelebihan pantai ini ialah pengunjung bukan sahaja boleh menikmati pelbagai aktiviti pantai yang menarik, bahkan ia juga lengkap dengan deretan kedai-kedai makan menyajikan makanan laut segar.
Malah, pemandangan matahari terbenam di sini juga cukup indah dan mampu membuatkan kita melupakan segala macam stress di tempat kerja.
3. Pantai Puteri
Pantai Puteri yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menjadi antara pantai yang terkenal di Negeri Melaka.
Selain menawarkan keindahan alam dan pemandangan matahari terbenam, pantai sepanjang 2.5 kilometer ini turut menjadi ‘port’ pilihan kaki pancing seluruh negara.
4. Pantai Klebang
Pantai Klebang yang terkenal dengan suasana pantai pasir putih yang istimewa ini turut terkenal dengan ‘uptown Klebang’ pada setiap malam minggu.
Meskipun pantai di sini kurang sesuai untuk aktiviti mandi manda namun ia amat sesuai untuk bersantai bersama keluarga kerana terdapat pelbagai aktiviti disediakan, antaranya menunggang kuda, bermain layang-layang dan menikmati udara pantai yang tenang lagi.
Jika anda lapar, jangan risau! Di sini terdapat banyak gerai dan kedai makanan popular untuk mengisi perut anda.
5. Pantai Siring
Di daerah Jasin juga terdapat pantai yang tidak asing lagi dalam kalangan orang Melaka dan pengunjung luar.
Selain terdapat pelbagai aktiviti sukan air, pantai ini juga dikatakan lokasi terbaik untuk lari dari hiruk-pikuk kota sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
Pantai ini turut popular dengan hasil laut segar, selain menu celup tepung yang cukup popular. Malah, mereka yang ingin ke Pulau Besar atau Taman Laut Melaka juga boleh menaiki bot dari jeti nelayan yang terdapat di sini.
6. Pantai Tanjung Dahan
Mungkin ramai yang tidak tahu kewujudan pantai ini kerana ia terletak sedikit tersembunyi di Kuala Linggi, namun bagi mereka yang gemarkan ketenangan inilah tempat terbaik untuk anda.
Disebabkan lokasinya yang sedikit tersorok, pantai ini sesuai untuk dijadijan ‘port’ perkhemahan memandangkan aktiviti ‘camping’ kini menjadi trend dalam kalangan rakyat negara ini.
Jangan risau untuk mencari tempat makan, kerana di sini juga terdapat beberapa warung dan kedai makan yang boleh anda singgahi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.