Meh ‘melantak’ durian di Menara Taming Sari

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 12 Julai – Bagi menambahkan kemeriahan Melaka Bila Larut Malam edisi kedua minggu ini, Menara Taming Sari Berhad (MTSB) mengambil inisiatif menganjurkan program O’Tropikal Durian Karnival Melaka Meh Melantak Durian! di perkarangan menara ikonik itu.

Program tersebut diadakan selama tiga hari, bermula hari ini hingga Ahad, di mana pengunjung berpeluang merasai keenakan raja buah dan pelbagai buah-buahan tropika yang lain, di samping menikmati pemandangan indah Bandaraya Melaka dari atas menara berputar 360 darjah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nasrul Ahmad memaklumkan, program dengan kerjasama odurian.my itu akan bermula dari jam 10 pagi hingga 1 pagi sepanjang tiga hari penganjurannya.

“Kita percaya program ini bukan sahaja dapat menggamit pengunjung ke Menara Taming Sari, bahkan merancakkan lagi program Melaka Bila Larut Malam yang diadakan pada minggu ini.

“Selain makan durian dan buah-buahan tropika lain, Menara Taming Sari turut menyediakan pelbagai aktiviti lain seperti pemainan kanak-kanak dan cabutan bertuah buat pengunjung.

“Jadi, kita mengalu-alukan rakyat Melaka dan pelancong untuk datang ke sini bagi menikmati pelbagai tarikan yang disediakan khas sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah beliau, sepanjang tiga hari penganjuran program berkenaan, dianggarkan 7,000 hingga 8,000 pengunjung akan memeriahkan program istimewa yang diadakan itu.

“Kebiasaannya pada minggu biasa, Menara Taming Sari mampu menarik kehadiran 5,000 hingga 6,000 pengunjung dan dengan adanya program khas seperti ini, kita jangka dapat menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke sini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2786
Kongsi :
Previous post Kerusi roda elektrik hadiah Ketua Menteri mudahkan rutin harian
Next post Melaka negeri pertama lantik Ahli Majlis PBT dalam kalangan tentera
Ubah saiz-+=