‘Megah anak murid jadi Ketua Menteri’
BATU BERENDAM 23 Ogos – “Tidak ada angin tidak ada ribut tiba-tiba sahaja. Saya tidak menyangka bekas pelajar yang saya didik kini menjadi seorang yang berjaya.
“Dia datang ke rumah saya untuk ucapkan terima kasih,” kata Patimah Abu Hasan, 80, bekas guru Bahasa Melayu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Patimah tidak menyangka dapat berjumpa semula dengan Ab Rauf dan 10 lagi rakan sekelasnya setelah hampir 50 tahun mereka tidak bersua.
“Rasa megah, rasa bangga bila kita dapat tahu hasil didikan di Sekolah Menengah Ghafar Baba (SMGB) berjaya melahirkan seorang Ketua Menteri yang membawa nama Melaka.
“Alhamdulillah, saya lihat beliau seorang yang berjiwa rakyat dan merendah diri. Semoga beliau berjaya dalam karier politiknya dan memajukan Negeri Melaka dengan segala perancangan pembangunannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.
Patimah bertugas di SMGB sekitar 1967 ketika usianya 23 tahun dan berkhidmat sebagai pendidik selama 32 tahun.
Sementara itu, adik Patimah, Ab rahman abu hasan, 64, juga merupakan rakan sekelas Ab Rauf berkata, rindu atas kasih seorang sahabat yang setia dapat dirungkaikan pada pertemuan itu.
Ab Rahman yang juga bekas Penolong Kanan Penguasa, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengatakan banyak kenangan manis bersama Ab Rauf sewaktu di sekolah dan menyifatkan beliau seorang yang ramah selain gemar membantu orang lain.
“Masa zaman dulu sekitar tahun 1976 hingga 1977 saya tinggal sebilik bersamanya di asrama, banyak kenangan kami bersama. Bagi saya beliau adalah seorang yang setia kawan.
“Mana kami pergi sentiasa bersama, malah beliau seorang yang suka membantu dan tidak pernah menyakiti hati kawannya, sehingga hari ini sifat itu dizahirkan dalam peribadi beliau sebagai seorang pemimpin. Sebagai rakan saya bangga akhirnya beliau berjaya mencapai kejayaan menjadi pemimpin negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.