Sorting by

×

Megafest Havoc Roadtour bakal pukau orang Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

KLEBANG 4 Ogos – Kira-kira 100,000 pengunjung dijangka membanjiri pesta makanan ‘viral’ terbesar di Melaka Megafest Havoc Roadtour di Klebang Street, Pantai Klebang, bermula hari ini hingga Ahad depan (13 Ogos).

Pengarah Festival, Mohamad Najib Sulaiman berkata, festival itu adalah penganjuran kali pertama di Melaka dan akan berlangsung selama 10 hari dengan menampilkan lebih 220 gerai jualan dan juga lebih 200 pelbagai jenis makanan.

“Apa yang menarik ini adalah festival terbesar yang diadakan di Melaka ini menyajikan pelbagai jenis makanan bukan sahaja makanan Thai tetapi juga Arab antaranya kunafa, shawarma, nasi arab, kebab dan pelbagai lagi yang pasti membuatkan pengunjung ‘rambang mata’ untuk membuat pilihan.

photo1691140398
Pengarah Megafest Havoc, Mohamad Najib Sulaiman menunjukkan gerai nasi arab Shawarma Royal yang terdapat pada program Megafest Havoc Roadtour di Klebang Street, Melaka. Foto: MR. AZLI

“Selain itu, terdapat gerai jualan artis seperti Zazly Baginda, Aida Aris dan Tiktoker Uci Luna.

“Bukan itu sahaja, di sini terdapat juga gerai jualan pakaian dan aksesori dengan tawaran harga mampu milik kepada orang ramai. Jadi kita amat mengalu-alukan kedatangan penduduk Melaka mahupun pelancong luar ke sini.

“Untuk penganjuran selama 10 hari yang akan berakhir pada 13 Ogos ini, secara purata kita anggarkan pengunjung antara 5,000 hingga 10,000 sehari jadi sepanjang tempoh itu kira-kira 100,000 akan datang ke sini,” katanya ketika ditemui di Klebang Street.

photo1691138615
Banglo Seram yang terdapat pada program Megafest Havoc Roadtour di Klebang Street, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurutnya, selain gerai jualan, festival itu turut menampilkan himpunan ‘hantu’ satu Malaysia menerusi tiga rumah hantu, antaranya Alam Bunian dan Banglo Seram yang mana akan membuatkan pengunjung dapat merasai suasana seram.

Selain itu, katanya, terdapat juga Soopa Doopa terbesar bekeluasan 24.4 meter x 15.2 meter, selain taman dinosaur dan juga pesta lampu.

“Oleh itu festival ini amat sesuai dikunjungi seisi keluarga kerana bukan sahaja dapat menikmati pelbagai jenis makanan tetapi juga meluangkan masa bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Sudah tentu kehadiran beberapa penyanyi popular tanah air seperti Linda kumpulan EVA, kumpulan Ukay’s, Samudera dan beberapa lagi yang akan membuat persembahan memukau. Malah kita turut mengadakan pertandingan karaoke dengan hadiah wang tunai RM500 untuk juara manakala RM5,000 bagi juara antara juara selain kontrak menjadi artis Megafest.

photo1691138972
PERMAINAN soopa doopa untuk kanak-kanak. Foto: MR. AZLI

“Justeru itu, datanglah ramai-ramai malah untuk memudahkan pengunjung juga kita turut menyediakan tempat letak kereta percuma berhampiran tapak festival,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3844
Kongsi :
Previous post KKM terima 1,843 rayuan ekoran urusan penempatan lantikan tetap
Next post Laluan gelap, kerap kemalangan dinaik taraf
Ubah saiz-+=