Media perlu pertingkat ilmu teknologi digital masa kini

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Julai – Pengamal media di Negeri Melaka diharap dapat mempertingkatkan ilmu teknologi masa kini dalam membantu menyebar luas segala dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, media sama ada cetak atau elektronik memainkan peranan besar dalam menjadi penghubung kepada kerajaan sebagai pembuat dasar dengan rakyat menerusi laporan pemberitaan yang tepat dan tanpa prejudis.

Menurut beliau, memandangkan dunia kini telah berubah, media juga dilihat perlu mempertingkat ilmu dalam bidang teknologi digital untuk lebih mendekati golongan masa kini.

“Media arus perdana harus peka dalam mempertingkatkan ilmu dalam dunia teknologi digital memandangkan kita kini sedang beralih pada platform media sosial.

“Saya percaya, jika pengamal media dapat memberikan laporan tepat menggunakan platform terkini yang seiring dengan media sosial, kita dapat membetulkan kebengkokan maklumat yang selama ini berlaku, seperti contoh dalam dunia politik.

“Saya amat berharap media dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan Negeri Melaka dengan menyampaikan maklumat dengan tepat dan cepat kepada rakyat menerusi platform terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-5 Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengerusi PENDIKA Amir Mamat dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf merakamkan ucapan terima kasih kepada pengamal media pelbagai agensi yang ada di negeri ini kerana telah banyak membantu Kerajaan Negeri menyebar luas segala dasar dan kejayaan, khususnya sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

199
Kongsi :
Previous post ‘Mana lagi, Melaka Ler’, jadi fenomena
Next post Koridor Ekonomi Anjung Selatan gabung Melaka, Johor dan Negeri Sembilan
Ubah saiz-+=