
MEDIA MELAKA SEMARAK JIWA MERDEKA
AYER KEROH 30 Ogos – Media Melaka turut menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2024 menerusi agihan Jalur Gemilang kepada wakil agensi media di negeri ini.
Inisiatif daripada Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) itu merupakan usaha dilakukan bagi menyahut saranan kerajaan demi menyuburkan semangat patriotisme, khususnya di Negeri Melaka
Simbolik penyerahan Jalur Gemilang itu telah diadakan di Taman Botanikal Melaka, di sini, kepada lapan agensi media yang bertapak di Negeri Melaka.
Antara agensi media terlibat adalah Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Utusan Malaysia, Kosmo!, Sinar Harian, Astro Awani, TV3, Berita Harian dan Melaka Hari Ini.
Pengerusi PENDIKA Amir Mamat berkata, sebagai antara barisan hadapan negara menjadi tanggungjawab pengamal media di negeri ini untuk menjadi suri tauladan dalam menyemai semangat patriotik selari dengan tema tahun ini Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.
“Selain menyampaikan laporan berita yang tepat lagi sahih kepada rakyat, menjadi tanggungjawab PENDIKA memastikan bulan penting negara menyambut kemerdekaan ke-67 tahun ini terus diingati.
“Diharap usaha ini bukan sahaja menambah kemeriahan Bulan Kebangsaan di Melaka, bahkan dapat memupuk semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.