Media arus perdana diminta bantu calon bertanding
BUKIT KATIL 8 Nov – Pakatan Harapan (PH) meminta agar media arus perdana memberi ruang kepada parti itu dalam membantu memperkenalkan calon mereka.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, memandangkan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi ia menjadi cabaran terbesar dalam menjalankan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, namun begitu pihaknya akan menjalankan kempen secara bergerak dalam untuk berkempen selain menggunakan media sosial.
“Kempen rumah ke rumah agak sukar dan himpunan yang (sebelum ini) menjadi medium utama menjadi halangan jadi kita akan memanfaatkan semua ruang yang ada dalam media baru.
“Saya berharap juga media boleh mainkan peranan penting terutamanya media arus perdana untuk memberi ruang lebih banyak kepada calon-calon untuk menyampaikan mesej,” katanya pada sidang media di Graha Amanah Melaka.
Menurut beliau, ruang itu perlu bagi membolehkan masyarakat menerima maklumat dan penerangan hala tuju setiap gerakan politik sebelum membuat keputusan.
Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pada PRN kali ini PH secara keseluruhan menampilkan empat calon wanita.
“Seramai 28 calon PH diterima dan disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bertanding di 28 DUN.
“Daripada itu 14 peratus adalah wanita manakala 64 peratus calon yang ditampilkan PH pula terdiri mereka berusia 50 tahun ke bawah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan ‘Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan’ pada Rabu ini, kira-kira jam 5 petang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.