Medan uji adrenalin, atasi rasa gayat
AYER KEROH 14 Februari – Bagi yang sudah jemu bergambar di lokasi tinggalan sejarah di Banda Hilir, apa kata uji tahap adrenalin anda dengan melepasi laluan berhalangan dan aktiviti lasak mendebarkan di Melaka Skytrex Adventure Park di Taman Botanikal Ayer Keroh.
Sebagai satu-satunya lokasi sukan ekstrem di kawasan selatan antara tarikan utama adalah melepasi laluan pada ketinggian 25 meter yang tergantung antara pokok, cabaran itu nampak mudah namun ia menguji tahap keberanian dan perasaan gayat anda ketika berada di tempat tinggi.
Wartawan Melaka Hari Ini (MHI) menghabiskan masa hampir lima jam untuk melengkapkan 35 cabaran disediakan dan ternyata ia bukan perkara mudah kerana memerlukan semangat berpasukan yang tinggi dan keberanian.
Bagi pengunjung berminat boleh memilih tiga tahap kesukaran halangan dengan ‘Little Dino’ direka agar sesuai untuk mereka yang mahu beriadah bersama anak kecil.
Tahap kesukaran meningkat apabila tiba di ‘Pahlawan Trail’ dan menjadi lebih mencabar di peringkat akhir halangan disediakan di ‘Ektreme Warrior’, sekali gus melengkapkan semua 35 cabaran.
‘CHICKEN EXIT’ BUAT PENGECUT
Selepas mendengar taklimat daripada petugas di pintu masuk taman itu, kami diberi pendedahan tentang tatacara keselamatan sepanjang berada di atas kanopi pokok dan diajar memakai abah-abah bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini sepanjang mengikuti aktiviti lasak disediakan.
Bagi siri pertama cabaran kami perlu memanjat tangga setinggi hampir 10 meter sebelum melengkapi hampir lima cabaran di peringkat awal Extreme Warrior.
Jika tidak melakukan persediaan atau jarang terbabit dalam aktiviti lasak, anda pasti berdepan kesukaran berikutan perlu meniti tali hampir lima meter dan papan yang digantung.
Namun jika kurang yakin untuk meneruskan cabaran anda boleh mengundurkan diri di ‘checkpoint’ disediakan, atas faktor keselamatan tidak perlu malu atau segan meskipun ia dinamakan sebagai ‘Chicken Exit’.
Sebaik melengkapi fasa pertama itu, ada dalam kalangan peserta yang hampir kecundang akibat kepenatan, namun hasil semangat pasukan semuanya sepakat untuk maju ke peringkat seterusnya.
BERCAKAP DENGAN POKOK
Tatkala rasa penat mulai membelenggu diri, tahap keyakinan pula hampir musnah berikutan cabaran yang awalnya hanyalah ‘ringan-ringan’ kini semakin sukar ditambah pula perasaan gayat mula menghantui kerana berada di tempat tinggi.
Perjalanan dari pokok ke pokok itu bukannya mudah kerana bukan sahaja perlu meniti tali malah anda juga perlu memanjat jambatan jaring disediakan selain melompat dari tali ke tali sesekali menguji motivasi diri ini.
Apabila berjaya merentasi dari satu pokok ke satu pokok yang lain ia umpama satu kejayaan besar bagi kami berikutan cabaran itu bukan mudah jika sesekali terlihat pangkal pokok yang semakin kecil jika dibandingkan dengan daun baru berpucuk.
Bagi melupakan kepenatan dan segala pemikiran negatif ‘bercakap’ dengan pokok mampu meningkatkan semula motivasi dalam diri selain pada masa yang sama hati terjentik dengan keindahan ciptaan tuhan.
CEMAS TERGANTUNG
Perasaan gementar dan takut amat menghantui diri ketika kami melengkapkan 23 cabaran awal, meskipun sudah sampai di tengah trek namun sesekali berasa kaki sudah tidak lagi berdaya untuk melangkah, cuma kata-kata semangat daripada rakan yang boleh membantu anda.
Ditambah tusukan minda yang pengecut akan tempat tinggi membuatkan hati rasa gerun apabila angin yang mula menderu menggoyangkan pokok menjadi tempat berpaut.
Sebaik sampai di cabaran berikutnya apabila kami perlu melintasi jambatan tali yang disusun secara ‘zig-zag’ kaki penulis mula bergetar dan tidak berjaya mengawal diri lalu tergelincir menjadikan keadaan cemas seketika.
Memandangkan diri ini merupakan peserta terakhir dan atas semangat diberikan rakan akhirnya saya berjaya memanjat semula tali tersebut biarpun pasukan keselamatan berada dalam perjalanan untuk menurunkan penulis dari cabaran itu.
Namun hati tetap bersyukur biarpun hampir kecundang di cabaran akhir itu sesekali perasaaan bersemangat datang semula sebaik disuntik oleh petugas yang menjaga kami di sepanjang ekspedisi di atas pokok.
MELAKA SKYTREX UNTUK SEMUA
Orang ramai yang ingin menguji pengalaman mendebarkan boleh berkunjung ke lokasi ini pada bila bila masa demi menguji ketahanan fizikal dan mental.
Eksekutif Pengurusan Bakat Melaka Sytrex, Mimie Marina Salim berkata, orang ramai disarankan melakukan tempahan tiket menerusi laman web bagi memastikan slot yang ditawarkan dapat dipenuhkan mengikut jadual ditetapkan.
“Bagi mengelakkan kemasukan yang padat mereka digalakkan untuk menggunakan kaedah dalam talian bagi membeli tiket yang ditawarkan.
“Melaka Skytrex beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang merupakan sebuah pusat ekstrem bersesuaian untuk seisi keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.