![6203720023441260517](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2024/08/6203720023441260517.jpg?v=1724120468)
Medan selera dalam taman
JASIN 20 Ogos – Sebuah medan selera dua tingkat yang dibangunkan di Taman Bandar Parkland, bakal menjadi satu lagi tarikan baharu buat pengunjung.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, medan selera yang dijenamakan sebagai Lepak @ Botani itu adalah milik Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan menempatkan sebanyak 12 gerai.
Tambah Ketua Menteri, ia juga berada di kedudukan strategik iaitu terletak berhadapan taman rekreasi bandar seluas 12.14 hektar (30 ekar).
“Gerai Majlis Perbandaran Jasin ini terletak berhadapan dengan taman rekreasi (Taman Bandar Parkland). Kedudukannya yang strategik di hadapan taman rekreasi pastinya menjadi tarikan pengunjung di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Lebuh Jasin Selatan, Jalan Jasin Selatan-Bukit Kajang, Taman Rekreasi (Taman Bandar Parkland) dan Medan Selera Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Bandar Botani Parkland, di sini, semalam.
![6203720023441260514](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2024/08/6203720023441260514-1024x682.jpg)
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memuji pembinaan taman rekreasi di kawasan perumahan tersebut yang memberi manfaat penting dalam membina komuniti yang sihat dan aktif.
“Saya difahamkan, taman ini bukan hanya menyediakan ruang hijau yang menarik untuk berehat, tetapi turut menjadi ruang untuk aktiviti-aktiviti rekreasi kepada orang ramai beriadah bersama keluarga.
“Pada hemat saya, usaha ini telah mewujudkan satu ruang hijau yang bukan sahaja estetik, malahan turut berfungsi dengan baik untuk memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.