Sorting by

×

Medan ikan bakar kembali jadi tumpuan pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

UMBAI 14 Okt. – Medan ikan bakar di Melaka kembali meriah dengan kehadiran pengunjung dalam dan luar negeri susulan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bagi individu lengkap divaksin.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) semalam di beberapa medan selera ikan bakar yang terkenal di negeri ini didapati meriah kedatangan pelanggan menjamu selera.

Pengurus Medan Ikan Bakar Parameswara, Hasry Effandy, memberitahu kedainya ‘diserbu’ pada hari Isnin lalu selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas pada hari Ahad.

Katanya, ramai juga yang menghubungi untuk menempah meja dan mereka kebanyakan dari luar Melaka.

HASRY.

“Alhamdulillah, kebenaran merentas negeri yang paling dinanti buat peniaga di Melaka ini, kerana kehadiran pelancong dan pengunjung luar antara yang menggamatkan suasana.

“Kami dapat panggilan untuk tempahan meja agak banyak, dianggarkan lebih 20 meja dalam masa tiga hari, selain itu ramai datang bersama keluarga yang saya kira sudah lama tidak bertemu disebabkan pandemik ini.

“Ini kerana ikan bakar merupakan hidangan seisi keluarga yang tidak sesuai dinikmati secara bungkus atau pandu lalu, sebaliknya ia lebih enak dinikmati ketika panas di kedai,” katanya ketika ditemui di Medan Ikan Bakar, Umbai.

ANTARA juadah yang boleh dinikmati seperti sotong celup tepung, ikan sambal bakar, ketam bakar dan udang butter.

Sementara itu di Medan Ikan Bakar Hj.Musa di Muara Sungai Duyong kelihatan pengunjung yang tidak putus-putus hadir menjamu selera.

Pengurusnya, Abdul Rahman Musa berkata, dia dan pekerjanya tidak menang tangan melayan pelanggan, biarpun restoran masih tidak dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ujarnya, dia sangat bersyukur apabila ekonomi kembali dijana dan sebak mengenangkan keadaan semasa pandemik ‘mengganas’ apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Semasa PKP, larangan makan di kedai, ditambah tidak boleh merentas daerah dan negeri sebelum ini ‘menjerut leher’ kami yang mengharapkan pelanggan luar serta perantau yang balik bercuti di kampung.

“Selepas rentas negeri dibenarkan, alhamdulillah, kerusi dan meja dì restoran tidak mencukupi sehingga ada pelanggan terpaksa menunggu giliran di luar kedai bagi mematuhi SOP,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2739
Kongsi :
Previous post Terap nilai KKP dalam kalangan pelajar – Sulaiman
Next post PRN Melaka: MKT belum capai keputusan muktamad
Ubah saiz-+=