Sorting by

×

MEDAC gesa 1.9 juta usahawan mikro segera daftar dengan SSM

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

LENDU 27 Feb. – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa 1.9 juta usahawan mikro segera mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menegaskan langkah itu memudahkan MEDAC untuk menyediakan pangkalan data perniagaan mereka dan skim latihan serta bantuan pembiayaan.

Katanya, ada segelintir usahawan terbabit mendakwa, jika berbuat demikian, mereka akan ‘dikejar’ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membayar cukai dan menyebabkan mereka tidak layak untuk menerima pelbagai bantuan kerajaan.

Usahawan mikro mendaftarkan perniagaan dengan SSM pada program SPPP SSM di pekan Masjid Tanah.

 

“Kebanyakan usahawan yang berniaga secara atas talian, di halaman rumah dan seumpamanya, enggan mendaftar dengan SSM kerana mempunyai stigma mereka terpaksa membayar pelbagai jenis cukai jika berbuat demikian.

“Hapuskan stigma itu kerana tanpa pangkalan data lengkap, sukar untuk MEDAC menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan mereka berjaya dalam perniagaan,” katanya selepas meninjau program Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) SSM di pekan ini hari ini.

Skim itu menyediakan peluang pendaftaran perniagaan secara percuma untuk usahawan B40 dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Ia dihadiri kira-kira 200 usahawan terbabit. Yang turut hadir, Ketua Seksyen Operasi SSM Melaka, Noraini Mohd Saad.

Mas Ermieyati berkata, MEDAC akan meningkatkan kerjasama dengan SSM di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan lebih ramai usahawan mikro mendaftarkan perniagaan.

Mas Ermieyati meninjau pejabat bergerak SSM pada program SPPP SSM di pekan Masjid Tanah.

Katanya, program SSM turun padang seumpama itu memudahkan usahawan mendaftarkan perniagaan berikutan larangan merentas daerah dan negeri sekarang.

“MEDAC berusaha meningkatkan kefahaman usahawan mikro supaya tidak bimbang untuk mendaftarkan perniagaan demi kelangsungan operasi hingga berjaya mengembangkannya ke peringkat lebih besar,” katanya.

Sementara itu Noraini berkata, SSM menyediakan program turun padang bagi membantu usahawan B40 dan penuntut mendaftarkan perniagaan secara percuma dari semasa ke semasa.

Katanya, sambutan menggalakkan diterima hari ini membuktikan usahawan mikro tidak mudah patah semangat meneruskan operasi walaupun menghadapi cabaran getir akibat pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post ‘John’ ceriakan pengunjung pantai Pengkalan Balak
Next post Mantan ADUN Serkam meninggal dunia
Ubah saiz-+=