MEA mahu julang Esport di bumi Hang Tuah
SEBUT sahaja Counter Strike, DOTA 2, PUBG, Mobile Legends, League of Legends: Wild Rift!, pasti ia menjadi sebutan setiap penggemar, peminat atau pemain sukan elektronik (Esport) seantero dunia, malah turut mendapat perhatian di Melaka dan Malaysia amnya.
Malah, dunia Esport kini semakin berkembang pesat dan disebabkan itu Persatuan Sukan Elektronik Negeri Melaka (MEA) mengorak langkah untuk memartabatkan Esport di Melaka sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Presidennya, Muhammad Hamka Mohd Ali berkata, sudah tiba masanya untuk pembangunan Esport di Melaka digerakkan dan disebabkan itu MEA ditubuhkan dalam memastikan segala gerak usaha pembangunan tersebut dapat diterjemahkan bersama kerajaan negeri.
“Kalau kita lihat, dunia Esport ini berkembang setiap masa dan kita tidak boleh menafikan bahawa selain mengkaji ‘gameplay’ permainan, Esport juga boleh menjana pendapatan.
“Secara tidak langsung, Esport itu sendiri berpotensi menjadi antara penyumbang kepada ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Jelasnya, MEA sendiri telah mengenal pasti tiga titik fokus utama dalam memastikan pembangunan Esport di Melaka berjalan dengan lancar.
“Bagi mencapai tujuan ini, MEA telah mengenal pasti tiga titik fokus utama yang kami gambarkan sebagai tonggak fokus kami iaitu pembangunan bakat, pembangunan ekosistem sukan elektronik dan pelaksanaan urusan tadbir sukan elektronik yg baik.
“Dengan mengembangkan ketiga-tiga tonggak ini, MEA bertujuan untuk menjadi pemimpin dalam kancah sukan elektronik di peringkat kebangsaan dan global akan datang,” katanya.