Sorting by

×

MEA cungkil atlet sukan elektronik ke SUKMA Johor 2022

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BUKIT BARU 10 Mac. – Persatuan Sukan Elektronik Melaka (MEA) mencungkil bakat baru untuk diketengahkan sebagai atlet sukan elektronik (eSports) bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Johor tahun depan.

Presidennya, Muhammad Hamka Mohd Ali berkata, berikutan itu pihaknya menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan beberapa persatuan sukan itu bagi mengenal pasti pelajar yang berpotensi untuk menyertai sukan dwitahunan itu.

Katanya, setakat ini pihaknya masih lagi menganjurkan beberapa pertandingan sukan secara atas talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang tidak membenarkan sebarang penganjuran aktiviti.

Hamka (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan eSports Sekolah Melaka 2021 di Dewan Bestari Jabatan Pendidikan (JPN) di sini hari ini.

“Selepas ini kita akan adakan aktiviti secara ‘offline’, maknanya program secara bersemuka antara semua peserta supaya suasananya lebih meriah namun masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Dengan cara itu, kita mampu mencungkil bakat baru dan memilih pemain terbaik untuk dilatih untuk menyertai SUKMA Johor 2022 nanti,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan eSports Sekolah Melaka 2021 di Dewan Bestari Jabatan Pendidikan (JPN) di sini hari ini.

Dalam program berkenaan, lebih 2,500 peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di negeri ini menyertai kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa senarai pemain menerusi beberapa persatuan daerah, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Kita akan kenal pasti lagi pemain-pemain baharu untuk diketengahkan bakat mereka,” katanya.

Berikutan itu, Muhammad Hamka menggalakkan setiap persatuan sukan itu melatih ahli masing-masing untuk bergiat aktif dalam permainan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB), Pro Evolution Soccer (PES) dan Dota 2 yang dijangka akan dibawa ke temasya SUKMA Johor 2022 nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1778
Kongsi :
Previous post Sarjan direman dua hari bantu siasatan kes rasuah RM2,000
Next post Lelaki 43 tahun korban terbaharu COVID-19 di Melaka
Ubah saiz-+=