Sorting by

×

MDEC rai 25 tahun pacu transformasi digital Malaysia

Masa Membaca:5 Minit, 18 Saat

“KITA bercakap mengenai sesuatu yang lebih luas. Kita bercakap mengenai mengubah cara hidup kita dan bekerja dalam persekitaran MSC.”

Apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian pada 17 Mei, 1997, pada pelancaran rasmi Cyberjaya, sukar untuk membayangkan sejauh mana dunia akan berubah.

Dr Mahathir menyasarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sebagai pemangkin kepada perkara baharu – undang-undang siber baharu, jenis hiburan baharu, cara baharu penyampaian penjagaan kesihatan dan aplikasi teknologi baharu.

Selepas 25 tahun, banyak yang disasarkan berkembang melangkaui apa difikirkan sebagai mungkin.

Bagaimanapun, pencapaian ini tidak akan dapat dicapai daripada hanya keazaman dan dedikasi – ia adalah hasil daripada pandangan jauh dan perancangan yang mula ditetapkan pada 1996.

MELETAKKAN ASAS (1996-2003)

Pada 5 Jun, 1996, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) ditubuhkan untuk mengawasi pelaksanaan MSC Malaysia.

Dalam tempoh kurang dari sebulan, Dr Mahathir melancarkan MSC Malaysia pada Persidangan dan Pameran Multimedia Asia 1996 yang julung kali diadakan, dan dalam proses itu, MDC dilancarkan secara rasminya, yang kemudian dikenali sebagai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Pada 5 Disember 1996, Sun Microsystems menjadi syarikat pertama diberi status MSC – pertama dalam senarai panjang penggerak ekonomi digital di negara ini.

Sejak itu, ribuan syarikat lain telah mencapai status MSC berikutan mereka menyumbang modal, idea dan pekerjaan kepada ekonomi digital Malaysia.

Sehingga 2019, negara mempunyai 2,954 syarikat MSC yang aktif, menghasilkan gabungan pendapatan sebanyak RM472 bilion dan mewujudkan 182,538 pekerjaan bagi ekonomi Malaysia.

Tahun 1997 turut menyaksikan penubuhan Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia, bertujuan menghimpunkan pemimpin, pemikir dan penyelidik ICT paling berpengaruh di dunia untuk menyumbang kepakaran mereka ke arah memacu industri ICT Malaysia.

MEMASUKI FASA DUA (2004-2010)

Melangkah ke hadapan, MSC Malaysia Next Leap diumumkan pada Julai 2004, menandakan fasa dua perjalanan MDEC, merangkumi tempoh antara 2004 dan 2010.

Tumpuannya? Bagi melaksanakan inisiatif MDEC ke seluruh negara.

Pada masa inilah Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa 10,000 sekolah akan ditransformasi menjadi sekolah pintar.

Inisiatif dasar pendidikan yang luas ini akhirnya membawa kepada inisiatif MDEC seperti MyDigitalMaker, yang memberi impak kepada lebih 2.1 juta pelajar dan melengkapkan lebih 90,000 guru dengan kemahiran digital untuk digunakan di dalam kelas.

Pada 2005, sempena ulang tahun ke-10 MSC, treler untuk Saladin: The Animated Series yang diterbitkan oleh MDEC telah ditayangkan untuk sesi pratonton, menandakan bermulanya industri kandungan digital Malaysia.

Saladin dan inisiatif MDEC dalam industri kandungan digital telah memberi laluan kepada siri produksi tempatan seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali untuk menjadi kisah kejayaan yang masyhur di peringkat antarabangsa.

Hari ini, negara mempunyai ekosistem kandungan digital yang berkembang pesat – merangkumi animasi, permainan video dan kesan visual – kerap menerima projek antarabangsa dan pengiktirafan global.

KE ARAH DIGITAL MALAYSIA (2011-2021)

Fasa dua perjalanan MDEC tamat pada Oktober 2010 yang menyaksikannya memulakan peranan seterusnya bagi membolehkan negara menghampiri aspirasi digital dengan membangunkan Rangka Kerja Ekonomi Digital Inovatif (IDE) pada 19 Oktober, 2011.

Pada Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) ke-23, MDEC telah diberi mandat untuk melaksanakan IDE atau lebih dikenali sebagai Digital Malaysia yang menjadi pelan induk bagi program transformasi digital negara.

Digital Malaysia itu menumpukan matlamat MDEC kepada tiga komponen utama iaitu Pembangunan Industri, Transformasi Digital dan Pengupayaan Persekitaran.

Sejajar dengan rancangan tersebut adalah aspirasi agar ekonomi digital dapat menyumbang 18.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Apa yang nyata, aspirasi itu kini berjaya direalisasikan dalam bentuk pencapaian.

Ekonomi digital Malaysia menyumbang 19.1 peratus pada 2019 dan dijangka mencecah 22.6 peratus menjelang 2025.

Jika diamati, sebahagian besar daripada transformasi digital negara itu sedang dijalankan.

Bagi tempoh 2017 hingga 2020 misalnya, sebanyak 489,000 perusahaan kecil dan sederhana telah menerimaguna e-dagang dalam operasi perniagaan masing-masing.

Dalam usaha mencapai kesemua perkara itu, MDEC menerusi dedikasi, kegigihan, daya tahan dan tumpuannya telah membolehkan sebahagian besar daripada inisiatif itu dapat dilaksanakan dan memberi nilai penting untuk negara ini.

MDEC yang ditubuhkan selepas krisis kewangan Asia pada 1997, juga tidak goyah dalam matlamatnya untuk memacu industri sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Malaysia.

Seterusnya selepas mengharungi krisis kewangan global pada 2007, MDEC diberi mandat untuk menerajui Digital Malaysia yang menjadi sebahagian daripada Agenda Transformasi Nasional.

Malah kini, di tengah-tengah persekitaran pandemik COVID-19, MDEC sekali lagi terbukti sebagai satu agensi yang berdaya tahan.

Sejak 2019, agensi itu telah bertindak memantapkan hala tuju bagi melonjakkan ekonomi digital Malaysia.

Di sebalik cabaran dan norma baharu, MDEC memacu inisiatif dan usaha yang tidak hanya membantu rakyat mengharungi kesukaran, tetapi turut didedahkan kepada lingkungan baharu yang sarat dengan peluang menarik.

Baru-baru ini, MDEC mengumumkan Strategi Pelaburan Digital Future5 (DIF5) – rancangan lima tahun yang menumpukan lima teras utama bagi menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital negara sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12.

Kesemua rancangan itu adalah sebahagian daripada gagasan besar dan seiring dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan dasar negara membabitkan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

MENERUSKAN KEMAJUAN BAGI TEMPOH 25 TAHUN AKAN DATANG

Selama 25 tahun, MDEC telah menerajui usaha memajukan ekonomi digital negara dengan mentransformasi Malaysia kepada antara negara peneraju digital di ASEAN.

Namun, apakah yang menanti atau perlu dihadapi MDEC bagi tempoh 25 tahun akan datang?

Bagi MDEC, pastinya masa depan itu adalah sekarang ketika negara sudah pun memasuki dunia digital.

Agensi itu akan terus menerajui transformasi digital negara bagi meraih peluang ekonomi digital yang saksama selain memacu Malaysia menjadi negara yang kompetitif di peringkat global.

Justeru, apa lagi yang disasarkan oleh MDEC? Bagi tahun ini sahaja, MDEC menyasarkan untuk memberi impak kepada hampir 100,000 rakyat menerusi usaha memperkasa mereka mendapatkan pengetahuan serta mencari peluang pendapatan menerusi mekanisme dan platform digital.

MDEC berhasrat meneruskan tumpuan dalam empat teras utama digital iaitu NADI — Kemahiran Baharu (New skills), Penerimagunaan (Adoption), Pengubah (Disruptors) dan Pelaburan (Investments).

Di bawah agenda Malaysia 5.0, agensi itu menyasarkan untuk membolehkan negara diintegrasi dengan teknologi secara mendalam, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang saksama kepada rakyat dan perniagaan.

Walaupun MDEC terbukti telah melangkah jauh dalam tempoh 25 tahun ini, apa yang pasti, masih banyak lagi yang boleh dilakukannya.

Lingkungan seperti medan teknologi moden membabitkan kecerdasan buatan, robotik dan bioteknologi misalnya menjanjikan potensi besar untuk melonjakkan kemajuan negara selain penting bagi mengelak Malaysia ketinggalan.

MDEC juga komited terhadap usaha pembangunan ekonomi digital negara yang menumpukan keperluan negara dan rakyat serta keutamaan untuk maju dalam Revolusi Perindustrian Keempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

668
Kongsi :
Previous post Istana Balai Besar dibuka untuk pemberian vaksin kepada rakyat
Next post Pengamal media berdedikasi bawa berita terkini untuk masyarakat
Ubah saiz-+=