MDDNM perluas bantuan kebajikan seluruh Melaka
PANTAI KUNDOR 28 Jun – Program tanggungjawab korporat sosial (CSR) anjuran Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) akan terus diperluaskan di setiap Parlimen dalam negeri ini bagi membantu golongan memerlukan.
Koordinator MDDNM, Syafiefie Mohd Rashid berkata, menerusi program CSR itu memfokuskan bantuan sokongan khususnya buat mangsa kebakaran rumah, bencana alam dan individu yang hilang sumber pendapatan.
Menurutnya, setakat ini lebih 200 penduduk di negeri ini telah menerima sumbangan daripada MDDNM sejak tiga tahun lalu dengan nilai peruntukan sebanyak RM1.2 juta.
“Setiap sumbangan yang diterima adalah hasil kutipan dalam kalangan ahli, malah program CSR yang dijalankan juga diadakan menerusi kerjasama agensi mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi bekerjasama bersama kami.
“Dalam program CSR dijalankan kita akan menyerahkan bantuan berbentuk ‘one-off’ khususnya kepada mangsa kebakaran rumah sebanyak RM2,000, bantuan komputer riba buat anak-anak mangsa kebakaran, serahan bantuan kit makanan kepada mangsa ribut dan banjir di 28 DUN Melaka, selain bantuan sokongan bagi mereka yang hilang punca pendapatan.
“Kita sedia membantu golongan memerlukan di negeri ini dan berhasrat akan meneruskan program CSR ini kepada sesiapa yang memerlukan malah menyeru kepada setiap kepimpinan Japerun di negeri ini untuk melaporkan kepada kami bagi mempertimbangkan bentuk bantuan yang boleh diagihkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas hadir mengagihkan bantuan di kediaman warga emas orang kurang upaya (OKU), Norzihan Mohd Noor di Taman Seri Tanjung, Tanjung Kling, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sinar Insan (PSI), Noraziah Husain dan Jawatankuasa MDDNM, Datuk Dr. K Nagaratnam
Program CSR itu merupakan kerjasama PSI bersama MDDNM dengan mengagihkan bantuan katil boleh laras dan bantuan lampin pakai buang buat Norzihan yang menderita kencing manis.
Sementara itu, Noraziah berkata, pertubuhan PSI yang bergiat aktif di Melaka, Kuala Lumpur dan Johor sedia memberi bantuan golongan memerlukan.
Ujarnya, program seperti itu merupakan acara berterusan dilaksanakan PSI sejak tiga tahun penubuhannya.
“Insya-Allah, menerusi kerjasama dengan MDDNM sebagai langkah pertama kita sedia berkerjasama pada masa akan datang.
“PSI sebelum ini sering berkolaborasi dengan beberapa NGO termasuk Hospital Melaka dan Tampin, Negeri Sembilan, selain bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi mahupun pertubuhan untuk melaksanakan misi membantu rakyat yang memerlukan di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.