MDA diarah menilai aduan penggunaan kit ujian kendiri COVID-19
PUTRAJAYA, 17 Feb – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) diarah memanggil semua pembekal kit ujian kendiri COVID-19 dalam negara, bagi menilai aduan yang diterima daripada pengguna, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata ia susulan aduan mengenai penggunaan kit ujian berkenaan yang menunjukkan keputusan COVID-19 meragukan.
“Saya juga meminta agensi (MDA) agar memohon pembekal mendapatkan maklumat jaminan kualiti daripada kilang prinsipal mereka,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini hari ini.
Katanya, penilaian juga akan dibuat ke atas kit ujian yang diragui di pasaran, untuk menentukan bahawa tiada kemerosotan dari segi kualiti dari waktu ia diluluskan sehingga sekarang.
“Perkara ini sedang dilaksanakan dan hasil tindakan MDA akan dimaklumkan kepada orang ramai nanti,” kata Khairy.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 27 Okt 2021, terdapat 49 kit ujian kendiri COVID-19 yang telah diberi kelulusan bersyarat oleh MDA (Rujukan:https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/10/senarai-kit-ujian-covid-19-kendiri-yg-diluluskan-27102021).
Sementara itu, ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Khairy berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan perkara itu.
“KKM dah buat syor dan cadangan, kita dah setuju dengan semua yang dibentang. Saya percaya dan yakin SOP ini sekiranya dipatuhi adalah mencukupi, untuk kita mencegah peningkatan (kes) yang terlalu mendadak,” katanya.
SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani, berkata siasatan terperinci Jawatankuasa Farmakovigilans terhadap 22 daripada 42 kes kematian yang dikaitkan dengan dos penggalak, adalah tidak berkaitan dengan vaksin COVID-19.
Katanya, sebanyak 20 lagi aduan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang diterima NPRA, masih lagi dalam siasatan.
Dr Roshayati merujuk kepada laporan berita yang diterbitkan semalam berdasarkan kenyataan NRPA, yang menunjukkan 42 kematian dilaporkan dikaitkan dengan dos penggalak, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk menerima dos itu.
Beliau menjelaskan setiap kematian berkaitan AEFI akan disiasat secara terperinci oleh pasukan penyiasat, terdiri daripada pakar yang berada di fasiliti yang melaporkan kematian itu.
“Hasil siasatan berkenaan termasuk maklumat klinikal akan dinilai dengan teliti oleh Jawatankuasa Farmakovigilans, yang dianggotai pakar daripada pelbagai bidang yang seterusnya akan menentukan sama ada terdapat sebab-akibat secara langsung dengan kematian dan vaksin yang diterima,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.