Sorting by

×

MD NAZRI DILANTIK PEMANGKU KETUA POLIS MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 2 Januari – Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Melaka berkuatkuasa hari ini.

Md Nazri menggalas tanggungjawab itu bagi menggantikan Datuk Wira Zainol Samah yang menerajui kepimpinan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebagai ketua polis negeri selama dua tahun sembilan bulan dan lima hari.

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka berlangsung di Auditorium IPK Melaka, Bukit Beruang disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Sementara itu, Zainol dalam ucapannya berkata, mengakhiri perkhidmatan sebagai seorang warga sang saka biru adalah memori yang tidak dapat dilupakan.

“Dengan sempurnanya majlis serah terima tugas ini, maka telah sempurnalah tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sebagai Ketua Polis Melaka.

“Ia juga turut menandakan bahawa telah tamat perkhidmatan saya sebagai warga sang saka biru setelah 38 tahun saya berikrar untuk menumpahkan taat setia kepada pasukan keramat yang saya cintai ini,” katanya.

Pada majlis itu turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) antara Datin Sabariah Hashim dan Datin Shahida Salleh.

Zainol menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1986 dan melalui pelbagai cabaran serta ujian bermula sebagai inspektor polis sehingga dilantik sebagai Ketua Polis Melaka.

Katanya, perjalanan sebagai warga PDRM tidak mudah, namun amat bermakna dalam sejarah perkhidmatan beliau kerana berpeluang memainkan peranan memastikan keselamatan dan keamanan negara terus terjamin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4778
Kongsi :
Previous post SPM 2024: PERATUSAN KEHADIRAN CALON CECAH 97 PERATUS – FADHLINA
Next post KANAK-KANAK PEREMPUAN MAUT TERSEPIT MEJA LIPAT
Ubah saiz-+=