MCORP SEDIA JAYAKAN WTD 2025
BANDARAYA MELAKA 16 November – Sebagai antara peneraju pembangunan negeri, Perbadanan Melaka (MCORP) mahu memanfaatkan penganjuran World Tourism Day 2025 (WTD 2025) untuk mengintai peluang baharu berpotensi mengembangkan lagi ekonomi Melaka.
Malah MCORP turut memikul amanah daripada Kerajaan Negeri sebagai antara agensi pelaksana bagi program bertaraf dunia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata susulan itu setiap kakitangan termasuk kumpulan syarikat diminta bersedia untuk bersama-sama menjayakan WTD 2025.
“Meskipun Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sudah hampir ke penghujung, namun kempen melawat negeri ini masih diteruskan. Baru-baru ini Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka menetapkan tahun hadapan Melaka akan anjurkan WTD 2025.
“Walaupun dianjurkan pada September dan Oktober 2025, tetapi persiapannya adalah aktif kerana akan melibatkan kehadiran delegasi daripada 140 buah negara, jadi MCORP diminta bersama-sama untuk menjayakan program yang diatur nanti.
“MCORP akan terlibat dalam sebahagian program tersebut, ditambah pula 2026 adalah Tahun Melawat Malaysia, jadi ini bermakna TMM2024 akan berterusan hingga 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan amanat dalam Majlis Perhimpunan Bulanan MCORP Bagi Bulan Oktober 2024 yang diadakan di Panggung Bangsawan, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MCORP; Noramirul Nizam Kamis, Pengurus Besar MCORP Corporate Services (MCS) Sdn Bhd, Datin Sukhirah Ibrahim serta wakil-wakil pengurusan tertinggi kumpulan syarikat di bawah MCORP.
Ujarnya, selain WTD 2025, MCORP turut diberikan amanah oleh Kerajaan Negeri bagi menganjurkan Karnival Usahawan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun hadapan.
Menurutnya, ia adalah susulan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat dan MCORP diberikan mandat untuk melaksanakan Karnival Usahawan.
“Jika sebelum ini setiap minggu Mesyuarat Exco akan diadakan di Seri Negeri, tetapi selepas ini setiap dua minggu sekali ia akan dibuat di setiap DUN dan dua minggu sebelum Mesyuarat Exco, akan diadakan program yang akan melibatkan semua portfolio Exco di kawasan DUN terbabit.
“MCORP diamanahkan untuk anjurkan Karnival Usahawan di setiap DUN dan saya berharap unit berkaitan agar bersedia dan atur mesyuarat sewajarnya supaya MCORP dapat melaksanakan amanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.