Sorting by

×

MCORP KOMITED TERAJUI PELABURAN MELAKA

Masa Membaca:3 Minit, 58 Saat

AKTIVITI pelaburan di Melaka terus menjadi perhatian rentetan beberapa perancangan serta inisiatif yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Malah penetapan sasaran nilai pelaburan RM10 bilion pada tahun ini oleh Ketua Menteri merupakan indikator yang realistik perlu dicapai sebagaimana yang telah disasarkan.

Nilai angka sasaran tersebut menandakan Melaka dalam fasa agresif bagi menarik lebih banyak pelabur dari dalam serta luar negara khususnya untuk melabur di Negeri Hang Tuah ini.

Dalam ucapan beliau pada Majlis Melaka Industrial Night pada Februari lepas, beliau memaklumkan, beberapa strategi telah dirangka Kerajaan Negeri untuk menggamit lagi pembangunan ekonomi jangka panjang sehingga 2035 melalui flagship satu dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

Jelas beliau, menerusi pelan tersebut Kerajaan Negeri telah menggariskan 25 inisiatif untuk pembangunan ekonomi secara holistik melibatkan pembangunan sektor pembuatan, pelaburan, kewangan, pembangunan kawasan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) dan pembangunan TVET bagi menyokong keperluan modal insan.

Justeru, beliau optimis fokus tersebut berupaya mengembangkan potensi pelaburan sekali gus menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

MCORP AKAN BANGUNKAN TIGA KAWASAN PERINDUSTRIAN BAHARU

Ketua Menteri memaklumkan, sejajar dengan hasrat untuk merealisasikan sasaran itu, Melaka Corporation (MCORP) akan membangunkan tiga lagi kawasan perindustrian baharu, iaitu pembangunan MCORP Hi-Tech Park berkeluasan 5,000 ekar, German Tecnology Park (460 ekar) dan Elkay 2.0 (601 ekar).

“Kerajaan negeri sudah memperoleh kelulusan Kementerian Ekonomi melalui MCORP bagi melaksanakan tiga projek untuk kerja awalan projek fizikal bagi jabatan atau agensi di bawah kementerian itu tahun ini dengan peruntukan pembangunan RM4.4 juta.

“Semua pembangunan perindustrian yang bercirikan teknologi tinggi ini diharap dapat memenuhi dan melengkapi keperluan pelabur untuk terus mengadakan usaha sama dan meneraju pembangunan perindustrian sehingga peringkat global,” katanya.

Katanya, langkah itu dibuat melalui pemerkasaan peranan Invest Melaka selaku kumpulan syarikat di bawah MCORP sebagai pusat pemudah cara dan pembangunan pelaburan.

“Invest Melaka akan menerajui agensi promosi pelaburan (IPA) negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan serta agensi teknikal, sekali gus mencetuskan idea penubuhan Jawatankuasa Sekretariat Melaka Industrial Booster (MIB),” katanya.

Ab Rauf menjelaskan, MIB akan bertindak sebagai First Point Of Contact atau titik perhubungan pertama bagi mentadbir urus berkaitan kemudahan pelaburan di Melaka, sekali gus membolehkan proses permohonan dan urusan pelaburan dilaksanakan lebih teratur dan pantas.

“Ia sekali gus membuka ruang dan peluang kepada pelabur tempatan serta antarabangsa untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membangunkan Melaka Center of Excellence bagi menyokong keperluan industri di samping meningkatkan pembangunan modal insan dalam peluang pekerjaan.

TAMAN TEKNOLOGI JERMAN IMPAK BAHARU PELABURAN DI MELAKA

Taman Teknologi Jerman yang bakal dibangunkan oleh Teladan Setia Sdn Bhd, Melaka Corporation (MCORP) dan Jakel Capital di Melaka direka untuk menarik syarikat teknologi dan pembuatan terkemuka dari negara gergasi ekonomi Eropah itu, sekali gus menyasar menjadi hab inovasi dan pembangunan mampan di Asia Tenggara.

MIDF Research dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini berkata, setakat ini terdapat lebih 700 syarikat Jerman di Malaysia, yang telah mewujudkan lebih 70,000 pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Teladan Setia Sdn Bhd, MCORP dan Jakel Capital telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama meneroka dan membangunkan penyelesaian tenaga bagi Taman Teknologi Jerman di Melaka.

Menerusi MoU itu, ketiga-tiga pihak mempunyai matlamat bersama untuk mengurus perancangan, penjanaan, dan pengagihan sekurang-kurangnya 1,000 megawatt (MW) untuk taman teknologi itu dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Konsortium itu distrukturkan dengan Jakel Capital memegang 51 peratus kepentingan, Cypark Resources (29 peratus) dan MCORP (20 peratus), dengan anggaran perbelanjaan modal sebanyak RM4 bilion.

Projek itu merangkumi integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui dan sistem pengurusan tenaga moden termasuk penyelesaian penyimpanan bateri bagi memastikan bekalan kuasa yang kukuh dan kos efektif ke taman perindustrian tersebut, dengan rundingan bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga melalui Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

SASAR PELABUR PEMBUATAN BERTEKNOLOGI TINGGI

Pada Mei lepas, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar memberitahu pelbagai langkah agresif dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelabur khusus dalam bidang pembuatan berteknologi tinggi untuk bertapak di bumi Melaka.

Khaidhirah berkata, selain status negeri mesra pelabur cadangan mewujudkan beberapa lagi kawasan perindustrian baharu antara aspek mendapat perhatian dan meningkatkan lagi keyakinan pemain industri termasuk yang bertaraf multinasional.

“Melaka akan sentiasa aktif dan agresif menarik pelabur datang ke negeri ini, lebih-lebih lagi dengan pembinaan tapak perindustrian baharu iaitu Taman Teknologi Jerman, MCORP High Tech Park dan Taman Perindustrian Elkay akan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka beroperasi di sini.

“Kita memberi jaminan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi terlibat akan memudahkan pelabur.

“Kerajaan Negeri akan memberi peluang terbaik kepada mereka dengan penyediaan pelbagai fasiliti dan kemudahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post MAIM BANTU NORDIN, SUZIE AZITA BANGKIT
Next post NAK ‘HEALING’ DI AYER KEROH? INI 5 LOKASI TERBAIK UNTUK ANDA
Ubah saiz-+=