MCORP JUNJUNG INTEGRITI, TOLAK SALAH GUNA KUASA
AYER KEROH 6 Februari – Perbadanan Melaka (MCORP) akan memastikan kakitangannya serta anak syarikat bebas rasuah dan tidak terjebak dengan gejala salah guna kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, pihaknya memandang serius terhadap perkara tersebut dan mahu setiap warga MCORP serta anak syarikat di bawahnya memperkasakan nilai integriti.
“MCORP sentiasa memastikan setiap kakitangan termasuk anak syarikat di bawah MCORP bersih dari jenayah rasuah serta salah guna kuasa.
“Justeru, saya ingin mengingatkan kepada semua kakitangan MCORP serta anak syarikat agar menjunjung nilai integriti dan menegah amalan salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MCORP Bagi Bulan Februari 2025 di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Adi Supian Shafie serta barisan pengurusan tertinggi anak syarikat di bawah MCORP.
Sebelum itu, turut berlangsung Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR Bersama SPRM yang ditandatangani Mohd Yusof serta Ahli Lembaga Pengarah MCORP, Mohd Amirul Basiron sambil disaksikan Adi Supian.
Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, pihaknya juga akan meneliti segala urusan pelaburan serta perniagaan bersama pihak swasta secara serius bagi memastikan tidak berlaku sebarang gejala libatkan rasuah atau salah guna kuasa.
“Di peringkat MCORP, kami sentiasa memastikan segala bentuk usahasama dengan pihak swasta dipantau oleh Unit Integriti.
“Ia sekali gus membuktikan MCORP sentiasa ambil berat mengenai pentingnya integriti di dalam segala urusan melibatkan pelaburan mahupun usahasama perniagaan,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.