Sorting by

×

MCORP dan pemain pelancongan ‘runding’ pakej menarik ke Panggung Bangsawan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mei – Perbadanan Melaka (MCORP) akan menjalinkan kerjasama dengan pemain industri pelancongan negeri untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Panggung Bangsawan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata pihaknya kini masih dalam proses rundingan bersama beberapa pemain industri pelancongan negeri membabitkan agensi kerajaan dan swasta.

Katanya, rundingan tersebut bertujuan untuk menjadikan pemain industri pelancongan sebagai ejen-ejen mempromosi Panggung Bangsawan kepada pengunjung.

“MCORP akan mengadakan kerjasama dengan semua penggiat pelancongan untuk menjadi ejen mempromosi Panggung Bangsawan dan membantu jualan tiket pelbagai pengisian yang telah diatur bermula Jun hingga Disember nanti.

“Setakat ini kita telah berunding dengan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) serta beberapa syarikat pelancongan swasta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Panggung Bangsawan Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata antara yang akan diketengahkan untuk menarik pengunjung adalah pakej berkumpulan.

“Sebagai contoh, pengunjung yang membeli tiket berpakej dapat menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) dapat juga menyaksikan program yang diadakan di Panggung Bangsawan.

“MCORP juga akan mencari penaja bagi tujuan pengoperasian Panggung Bangsawan untuk menjayakan pelbagai program yang telah dirancangkan sepanjang tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

170
Kongsi :
Previous post Perhalusi kaedah sesuai gamit pengunjung ke Panggung Bangsawan – KM
Next post Pratonton pengisian program Jun-Disember ‘gegar’ Panggung Bangsawan
Ubah saiz-+=