Sorting by

×

MCMC FOKUS PERANGI ISU PENYALAHGUNAAN MEDIA SOSIAL

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

MACHAP JAYA 15 Mac – Isu penyalahgunaan media sosial seperti membuat hantaran jelik berkaitan isu 3R (Race, Religion dan Royalty) menjadi antara fokus Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diperangi sepanjang tahun ini.

Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, isu tersebut diberi perhatian serius memandangkan ia boleh mengganggu gugat keharmonian di negara ini.

Pada masa sama, beliau berkata, MCMC juga akan memberi tumpuan khusus terhadap jenayah penipuan dalam talian (scam) yang semakin berleluasa dan menjadi penyebab kerugian mencecah jutaan ringgit.

“Kita akan bergerak lebih mantap dengan kerjasama dan kolaborasi rakan-rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Pendidikan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Selain itu, kita juga turut menggerakkan kempen turun padang di bazar-bazar Ramadan seluruh negara supaya masyarakat tahu mengenai kesalahan penyalahgunaan media sosial dan isu membabitkan penipuan dalam talian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Peduli Siber, Asnaf Sejahtera yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah MCMC Negeri Melaka Syed Isa Al-Sagoff serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai program tersebut, Zulkarnain menyatakan rasa teruja dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana turut melibatkan MCMC dalam program kemasyarakatan yang membawa impak cukup bermakna sempena Ramadan tahun ini.

Beliau berkata, kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dengan agensi persekutuan dan pihak swasta menerusi program ini dapat menunjukkan keprihatinan tinggi dalam aspek santunan kepada masyarakat.

“Jadi, ini satu usaha yang sangat baik dan bagi saya Melaka sentiasa menerajui dalam banyak perkara, bukan sahaja dalam inovasi dan perkhidmatan bahkan juga dalam sudut kemasyarakatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TANDA KASIH DAN SAYANG MPHTJ
Next post TUJUH TERNAKAN DILELONG JIKA TIDAK DITUNTUT – MPAG