MCA Melaka lancar kempen kesedaran vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 15 Mac – MCA Melaka menerusi Pasukan Respons dan Servis Masyarakat (CRSM) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan kempen pendaftaran dan penerimaan vaksin COVID-19 membabitkan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Kempen diketuai Pengerusi MCA negeri, Senator Datuk Lim Ban Hong itu, bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mendaftar sebagai penerima vaksin berkenaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ban Hong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kempen kesedaran imunisasi vaksin itu sebagai menyahut saranan kerajaan dalam menggalakkan rakyat negara ini mendaftar untuk program vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, sasaran utama program dan kempen adalah dalam kalangan golongan warga emas serta masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera selain belia serta anggota NGO di negeri ini.

“Kempen dan program pendaftaran vaksinasi yang dilaksanakan ini akan diteruskan bersama komuniti setempat bersama NGO supaya matlamat untuk memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 tercapai.

“Ia sejajar saranan kerajaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan bagi menangani pandemik COVID-19, sekali gus membentuk imuniti kelompok dan seterusnya mempercepatkan pemulihan ekonomi negara,” katanya selepas mengetuai kempen berkenaan di sekitar Hang Tuah Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut melatih ahli persatuan belia sebagai sukarelawan bagi membantu kerja imunisasi yang dijalankan secara berperingkat bermula bulan lalu.

Katanya, antara NGO yang terbabit dalam latihan itu termasuklah Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM).

“Kita mahu golongan belia terbabit dalam usaha membanteras wabak ini dan saya berharap hasrat kerajaan untuk mengekang penularan pandemik itu berjaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post Lebih 300 penduduk Orang Asli bimbang tanaman kerap dimusnahkan gajah
Next post Sedia turun padang bantu warga emas daftar vaksin
Ubah saiz-+=