
MBSB TEROKA BIDANG PERNIAGAAN BAHARU
AYER KEROH 1 Mac – Melaka Bekal Sdn Bhd (MBSB) meneroka bidang perniagaan baharu sebagai salah satu strategi untuk memperkukuh kedudukan, mempelbagaikan dan meningkatkan lagi sumber pendapatannya bagi tempoh jangka masa panjang.
Pengurus Besar Melaka Bekal Sdn Bhd (MBSB), Shahfulrizal A. Bakar berkata, tidak mahu terus bergantung kepada pendapatan daripada perniagaan semasa, pihaknya kini bejinak-jinak dalam aktiviti pembalakan termasuk di luar Negeri Melaka.
“Teras peniagaan MBSB ketika ini adalah aktiviti kuari, perlombongan bahan batuan dan mineral, namun kerana tidak mahu selesa dengan kedudukan sekarang kami mahu memberanikan diri meneroka bidang pembalakan. Segala perancangan ini adalah untuk menterjemahkan usaha kami dalam menyahut saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh agar anak syarikat tidak berharap kepada Kerajaan Negeri semata-mata.
“Permulaan tahun 2025 ini, bahagian balak yang dibeli daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah iaitu di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda telah mula beroperasi dan dijangkakan sekitar Mac, hasil pertama pembalakan ini dapat dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui selepas Program Ceramah Ambang Ramadan yang disampaikan oleh penceramah selebriti, Ustaz Syamsul Debat di Auditorium Hang Lekiu, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi MBSB, Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin dan Timbalan Pengurus Besar MBSB, Rohazam Bakar.
Shahfulrizal berharap cabang perniagaan baharu tersebut dapat memberikan pulangan yang konsisten untuk tempoh jangka masa panjang kepada MBSB yang juga merupakan sebahagian daripada kumpulan syarikat di bawah Perbadanan Melaka (MCORP).
“Diharapkan cabang perniagaan baharu ini dapat tingkatkan lagi sumber pendapatan dan mutu kerja warga MBSB sendiri.
“Skop pembalakan ini adalah bidang yang tidak boleh dilepaskan walaupun permulaan modal agak besar, tetapi pulangannya adalah berbaloi, sekali gus memperkukuhkan pendapatan MBSB untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Pix 2. SHAHFULRIZAL.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.