MBMB tidak benarkan ‘ulat tiket’ caj parkir bazar Ramadan, Aidilfitri
AYER KEROH 30 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak akan mengenakan sebarang caj bagi parkir bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, semua parkir bagi bazar Ramadan di bawah MBMB adalah percuma dan tidak akan dikenakan caj sama sekali.
Katanya, jika didapati ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengenakan caj parkir, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
“Masih sama seperti dulu, saya tak benarkan mereka caj parkir bazar Ramadan. Di bawah MBMB mana-mana kawasan saya tidak benarkan mereka caj parkir.
“Ini kerana rakyat baru sahaja hendak bernafas menuju peralihan ke fasa endemik. Kesusahan rakyat itu sudah masuk dua tahun.
“Jadi saya melarang mana-mana bazar Ramadan dan Aidilfitri daripada mengenakan caj parkir, jika ada yang berbuat demikian, kita akan ambil tindakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas mengenai penganjuran bazar Aidilfitri mega di Klebang, Zainal memaklumkan pada tahun ini, bazar berkenaan akan dialihkan kembali ke tempat asalnya di lot kedai Klebang Utama dan bukannya di Dataran 1 Malaysia.
Katanya, berbanding tahun lalu, jumlah tapak yang disediakan di bazar berkenaan juga dikurangkan kepada 190 peniaga sahaja bagi mengawal kedatangan pengunjung dan pada masa sama mengurangkan kesesakan teruk di kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.