MBMB sedia kiosk layan diri untuk pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 3 Feb. – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyediakan mesin kiosk layan diri bagi memudahkan orang ramai membuat segala pembayaran bil berkaitan pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, pengenalan mesin kiosk layan diri itu juga secara tidak langsung dapat mengelakkan kesesakan di kaunter sedia ada, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Untuk fasa pertama, jelasnya, sebanyak tiga unit mesin kiosk layan diri ditempatkan di bangunan Graha Makmur MBMB, di sini, dan ia dibuka kepada orang ramai hari ini.

“Mesin kiosk ini menerima pembayaran bagi cukai pintu, kompaun, sewa gerai, bil rampai dan bil pelan. Akan datang, sekiranya fasa pertama ini mendapat sambutan yang baik, MBMB berhasrat untuk meletakkan kiosk bayaran ini di tempat tumpuan awam seperti pusat beli- belah, pasar raya serta agensi perkhidmatan lain.

“Antara kelebihan pembayaran di mesin kiosk ini ialah pembayaran boleh dibuat secara kad kredit atau debit selain e-wallet, tunai dan melalui cek.

“Ia juga membenarkan pembayaran secara pukal maksimum lima bil pada satu-satu masa, selain disifatkan mesra pengguna memandangkan proses menyemak bil jadi lebih mudah dengan penyediaan imbasan kod QR,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal memaklumkan selain pembayaran di kiosk atau kaunter pihak MBMB turut menyediakan kemudahan e-bayaran iaitu MyfpxMBMB yang boleh diakses oleh pengguna menggunakan telefon pintar atau laman sesawang di https://myfpx.mbmb.gov.my.

Views:

2025
Kongsi :
Previous post Melaka tangguh buka PKRC baharu
Next post Isa Samad dihukum penjara 54 tahun, denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah
Ubah saiz-+=