MBMB sedia 19 program sempena ulang tahun ke-19, kembalikan aura ‘Bandaraya Berselawat’

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bakal menganjurkan 19 program bersempena ulang tahun ke-19 yang akan disambut pada 15 April depan.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, kesemua program itu dirangka mengikut kesesuaian keadaan semasa memandangkan negara sudah beralih ke fasa endemik bermula 1 April.

Menariknya, Zainal berkata, memandangkan ulang tahun ke-19 kali ini jatuh pada bulan Ramadan, pihaknya juga bakal mengembalikan semula program Bandaraya Berselawat dengan menampilkan selebriti Alif Satar.

“Program Bandaraya Berselawat ini kita pernah adakan kira-kira 10 tahun lalu yang mana pada ketika itu ia mampu menarik kehadiran seramai 10,000 warga bandaraya.

“Jadi untuk kali ini, kalau boleh kita sasarkan jumlah kehadiran lebih daripada itu, cuma kita perlu lihat dari sudut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang peralihan fasa endemik itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi MBMB 2022 di Dewan Taming Sari MBMB, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Melaka Karim Tumin dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat.

Menurut Zainal, pihaknya juga turut merangka pelbagai program keagamaan dan kebajikan bersempena ulang tahun ke-19 MBMB antaranya ceramah perdana, majlis bacaan Yasin Konsert Nur Najah MBMB dan program ziarah kasih anak yatim.

Selain itu, katanya, program tahunan Bandaraya Penyayang iaitu menyantuni asnaf dan golongan tidak bernasib baik di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran MBMB akan turut diadakan.

“Pada masa sama, kita juga bakal menganjurkan program sukan iaitu MBMB Virtual Active Run dan MBMB e-Sport Battle Championship 2022 bagi menarik penyertaan belia dan anak muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2701
Kongsi :
Previous post ‘Baywatch’ APM Melaka berwajah baharu
Next post Pembangunan prasarana untuk nelayan Tanjung Dahan
Ubah saiz-+=