MBMB sedia 119 produk pintar untuk masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Sebanyak 119 produk dan aplikasi pintar telah diperkenalkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selaras hasratnya ke arah Bandaraya Pintar.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kesemua produk dan aplikasi itu merupakan hasil inovasi oleh warga kerja MBMB yang mana ia diwujudkan bagi membantu masyarakat di kawasan Bandaraya Melaka.

Katanya, antara produk inovasi yang memberi kemudahan kepada rakyat ialah seperti Sistem Pintar Kawalan Trafik MBMB (SPiKTRA-M) yang membantu pengguna mendapatkan maklumat mengenai keadaan semasa trafik di sesuatu lokasi.

“Selain itu, kita juga mempunyai Sistem Pemantauan Operasi Pam (SPOP) yang berfungsi untuk memberi amaran awal banjir dan pelbagai lagi aplikasi untuk kemudahan rakyat.

“Kesemua aplikasi dan produk ini terangkum di dalam Smart City MBMB yang mempunyai tujuh komponen iaitu smart government, smart economy, smart digital infrastructure, smart community, smart living, emart environment serta smart mobility,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Smart Mobility Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersempena Smart Melaka International Conference and Expo 2023, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta lain-lain kenamaan.

Jelas Shadan, perancangan MBMB ke arah ‘Smart City’ telah bermula pada tahun 2002 lagi dan sejak itu pelbagai transformasi serta inovasi telah dilaksanakan demi kemudahan masyarakat.

Katanya, untuk tahun-tahun mendatang, pihaknya akan terus melakukan inovasi dan penambahbaikan mengikut peredaran masa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

754
Kongsi :
Previous post Melaka negeri perintis ekosistem digital
Next post MyFuturejobs : Lebih 4,000 jawatan kosong ditawarkan
Ubah saiz-+=