Sorting by

×

MBMB sasar kutipan cukai taksiran RM120 juta

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 28 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyasarkan kutipan cukai taksiran berjumlah RM120 juta pada tahun ini.

Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata berbanding tahun lalu, MBMB memperoleh sebanyak RM105 juta apabila seramai 80 peratus pemilik premis tampil menjelas bayaran cukai taksiran.

Katanya, berikutan itu untuk tahun ini pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengharapkan 85 peratus daripada 149,000 jumlah keseluruhan pemilik premis tampil membuat pembayaran.

“Daripada 85 peratus pemilik itu, nilai kutipan cukai yang akan diperoleh adalah sebanyak RM120 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Tahun 2023.

Rais berkata, berdasarkan rekod MBMB tunggakan cukai taksiran yang belum dijelaskan oleh pemilik premis sehingga kini berjumlah RM100 juta.

“Rakyat pun faham cukai yang dibayar kepada majlis ini akan dipulangkan semula kepada pembangunan infrastruktur di kawasan pentadbiran MBMB ini.

“Jadi menerusi program cabutan bertuah ini diharap akan meningkatkan hasil kutipan cukai taksiran sekaligus menurunkan jumlah tunggakan selain menggalak pembayaran cukai dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu mengenai program cabutan berkenaan, beliau berkata, program itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM210,000 dengan hadiah utama kategori dalam talian adalah Perodua Axia AV berjumlah RM50,000.

“Program ini terbahagi kepada dua kategori iaitu pembayaran secara manual dan dalam talian. Selain kereta antara hadiah yang ditawarkan adalah motosikal, mesin basuh dan komputer riba.

“Hadiah utama cabutan bertuah hanya akan diberikan kepada pembayar secara online ini untuk menggalakkan pembayar cukai menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh MBMB,” katanya.

Rais berkata, selain cabutan bertuah, MBMB turut memberikan diskaun kepada Permohonan Pindahmilik Nama Borang I dan J ke atas Pegangan Berkadar daripada RM30 ke RM15 sehingga 31 Ogos bersempena Sambutan Ulang Tahun 2 Dekad MBMB.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1279
Kongsi :
Previous post Hujan lebat berterusan mungkin punca tanah runtuh – JKR Daerah Kinta
Next post MDDNM perluas bantuan kebajikan seluruh Melaka
Ubah saiz-+=