MBMB perluas operasi bandaraya bersih
AYER KEROH 19 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terus memperluaskan operasi Bandaraya Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS) apabila ia dijalankan buat kali ke-17, malam tadi.
Bertempat di sekitar Jalan Tun Khalil Yaacob hingga ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, operasi selama tiga jam yang berakhir pada 11 malam itu diketuai Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Shadan, operasi yang turut disertai ketua jabatan dan pegawai kanan MBMB itu, bukan sahaja menjalankan operasi pembersihan malah mendekati masyarakat dengan penjagaan kebersihan serta pengindahan kawasan sekitar.
“Menerusi operasi BEBAS ke-17 ini beberapa Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dengan nilai keseluruhan RM3,000 dikeluarkan kepada pemilik premis.
“Tindakan itu dibuat dibawah Seksyen 47(1) (a), Akta 133 Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Seksyen 74, Akta 171 Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan membiarkan premis serta siar kaki dalam keadaan kotor dan juga tidak bersih,” katanya.
Menurut beliau, menerusi operasi itu juga turut dibuat hebahan kepada peniaga di sekitar kawasan rumah kedai berhubung penjagaan kebersihan dihadapan premis.
“Selain peniaga orang ramai turut dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan di kawasan sekitar dengan tidak membuang sampah di luar tong sampah yang disediakan.
“Tindakan penguatkuasaan terhadap orang awam yang menyalahi undang-undang berkaitan kebersihan ditempat awam akan dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.