Sorting by

×

MBMB ‘PAYUNG’ 600 PELAJAR GUNTING RAMBUT PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TELOK MAS 15 Februari – Seramai 600 murid dan pelajar dari tiga Parlimen di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima manfaat menerusi Program Gunting Rambut Secara Percuma ‘Dah Gunting Rambut ke? Jom Ler’.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, ia merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan.

Katanya, program gunting rambut secara percuma tersebut sudah dimulakan MBMB sejak 2019, namun pada ketika itu ia hanya membabitkan anak-anak kakitangan agensi itu sahaja dan kini ia diperluaskan ke peringkat komuniti.

“Untuk kali ini ia membabitkan tiga Parlimen di bawah pentadbiran MBMB iaitu Parlimen Kota Melaka, Parlimen Hang Tuah Jaya dan Parlimen Tangga Batu dan diadakan serentak.

“Di setiap Parlimen kita berikan untuk kira-kira 200 murid dan pelajar dan ia secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga.

“Selain itu ia juga dapat meningkatkan motivasi murid dan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan penuh keyakinan serta bersemangat apabila berpenampilan kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan bersempena Program ‘Dah Gunting Rambut Ke? Jom Ler’ Peringkat Parlimen Kota Melaka yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, di Balai Raya Tanjung Nibong, di sini, hari ini.

Shadan berkata, dalam menjayakan program gunting rambut percuma itu, MBMB turut menjalinkan kerjasama bersama Kolej Komuniti Kota Melaka.

“Pada program ini pelajar-pelajar kolej akan bertindak sebagai tukang gunting rambut yang mana menerusi usahasama ini ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat mereka.

“Malah secara tidak langsung juga dapat meningkatkan hubungan sosial bersama MBMB dan masyarakat setempat,” katanya.

Shadan turut menyuarakan komitmen untuk meneruskan program gunting rambut percuma itu pada tahun-tahun mendatang, sekali gus membantu lebih ramai lagi masyarakat yang memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post BOT TERBALIK: TIGA SELAMAT, SEORANG DIKHUATIRI LEMAS 
Next post 9 KAWASAN ‘TERNAK’ AEDES DIGEMPUR DI TAMAN BERTAM JAYA