Sorting by

×

MBMB KUKUHKAN HUBUNGAN DENGAN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER MOLEK 26 Oktober – Karnival Sejahterakan Bandarayaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menjadi platform memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, karnival tersebut telah memasuki tahun kedua penganjurannya, di mana pada tahun lalu telah diadakan di DUN Telok Mas, diikuti DUN Ayer Molek tahun ini dan tahun hadapan dijangka akan dilaksanakan di DUN Paya Rumput.

Jelas beliau, penganjuran program seperti itu sekali gus menunjukkan bahawa MBMB sentiasa cakna terhadap isu atau permasalahan setempat khususnya di bawah kawasan pentadbiran mereka.

“Program ini dirangka khas sebagai satu sesi libat urus di setiap DUN bawah pentadbiran MBMB dengan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan; Ahli Majlis MBMB; Agensi Kerajaan serta kepimpinan setempat.

“Ia bertujuan memberi informasi kepada penduduk setempat tentang peranan Ahli Majlis MBMB di kawasan yang dilantik di setiap DUN termasuklah informasi berkaitan projek atau perancangan pembangunan di kawasan terbabit yang akan disalurkan terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Karnival Sejahterakan Bandarayaku DUN Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Rais berkata, terdapat pelbagai acara menarik diatur sepanjang karnival berkenaan termasuklah saringan kesihatan, permainan tradisional, bayaran kompaun, pertandingan memasak dan banyak lagi.

“Harapan saya agar program seumpama ini dapat dikekalkan kerana ia merupakan pendekatan terbaik untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas daripada semua pemegang taruh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

266
Kongsi :
Previous post PLKN 3.0 DILAKSANA BERMULA JANUARI 2025
Next post TAMAN EKSTREM TASIK CHINCHIN ‘PERMATA’ BAHARU PELANCONGAN MELAKA
Ubah saiz-+=