MBMB KELUAR NOTIS, PERIKSA PREMIS BERUSIA LEBIH 10 TAHUN
AYER MOLEK 26 Oktober – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengeluarkan notis kepada pemilik bangunan rumah kedai tiga tingkat di Kompleks Al-Azim selepas rekahan tembok simen jatuh dari tingkat atas premis itu dan mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kejadian Khamis lepas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata notis terbabit bertujuan untuk melihat semula keadaan struktur bangunan terbabit yang dipercayai berusia lebih 16 tahun.
Katanya, tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya didapati terdapat pengabaian aspek keselamatan meskipun bangunan tersebut adalah bangunan persendirian.
“Setiap bangunan persendirian perlu mempunyai sijil kelayakan menduduki (CF) yang diperakui bahawa bangunan atau struktur yang siap dibina itu memenuhi syarat-syarat serta selamat digunakan.
“Kita tidak mahu perkara yang menimpa seorang kanak-kanak maut baru-baru ini berulang lagi dan kita tidak mahu kejadian sama berulang atau berlaku di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Karnival Sejahterakan Bandarayaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, Rais turut mengarahkan MBMB untuk mengeluarkan notis kepada pemilik premis bangunan yang berusia lebih 10 tahun di negeri ini untuk melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan ia sentiasa selamat.
“Langkah ini penting bagi mengelak kejadian tidak diingini serta berisiko hingga boleh membabitkan kemalangan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut ditimpa rekahan tembok simen yang terjatuh dari premis tiga tingkat dalam kejadian di Kompleks Al-Azim.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa Ong Lun Keat, 7, dari Taman Bukit Baru meninggal dunia ketika dirawat di zon merah Hospital Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.