MBMB keluar 700 notis larangan buang sampah dalam longkang

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengeluarkan lebih 700 risalah dan notis larangan membuang sampah secara terus ke longkang awam kepada penduduk sekitar Kampung Limbongan baru-baru ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, notis terbabit dikeluarkan rentetan kesedaran masyarakat sekitar masih kurang sehingga isu sampah di kawasan itu masih berlarutan hingga kini.

Katanya, tindakan membuang sampah di dalam longkang oleh segelintir pihak di kawasan itu menyebabkan berlakunya pencemaran, selain mencacatkan pemandangan di kawasan itu.

“MBMB mengeluarkan notis terbabit ekoran daripada pencemaran sampah di longkang awam yang dibuang penduduk sekitar dan mengakibatkan longkang terbabit tersumbat.

“Justeru, kita telah melantik kontraktor pembersihan untuk melakukan pembersihan setiap hari, namun jika tiada kesedaran daripada masyarakat sekitar, kita perlu tegas dan mengambil tindakan.

“Kita semua diwajibkan menjaga persekitaran tersebut demi kelestarian alam sekitar dan keselamatan kawasan kediaman kita bagi mengelakkan dari ancaman penyakit dan sebarang kacau ganggu kebersihan awam yang mana jika sesiapa didapati bersalah boleh didenda sebanyak RM250 sehingga RM1,000 mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 131),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Karnival Mega Trash To Cash 2024, yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin di Dataran Graha Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Malaysia, Hee Loy Sian dan Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor.

Dalam pada itu, Shadan berharap notis berkenaan dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada penduduk sekitar mengenai pentingnya menjaga kebersihan persekitaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

256
Kongsi :
Previous post Melaka perkukuh hubungan dakwah di Pulau Koh Panyee, Thailand
Next post Karnival Sukan Veteran tonjol bakat ‘orang lama’
Ubah saiz-+=