MBMB GUNA PERUNTUKAN DALAMAN BINA KOLAM TAKUNGAN SEMENTARA BUKIT RAMBAI
AYER KEROH 25 November – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menyelaras dan membina kolam takungan sementara di Bukit Rambai menggunakan peruntukan dalaman.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata pembinaan kolam takungan sementara itu adalah perancangan jangka masa pendek bagi mengatasi masalah banjir berulang di kawasan tersebut sejak 25 tahun lalu.
Katanya, susulan tinjauan pihaknya beberapa tindakan drastik telah diambil bagi mengatasi isu banjir di kawasan tersebut.
“MBMB mengambil langkah drastik merancang kolam takungan sementara sebagai langkah untuk membantu percepatkan tindakan dalam menyelesaikan isu banjir berlarutan di kawasan Bukit Rambai. Kita rancang untuk memulakan pembinaan pada awal tahun hadapan dan jangkaan siap kolam takungan sementara itu sebelum Disember 2025.
“Namun, sehingga kini proses teknikal sedang berjalan, jadi peruntukan dalaman yang akan dikeluarkan belum diputuskan lagi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan berkata minggu ini pihaknya akan mengenal pasti beberapa lokasi bersesuaian untuk pembinaan kolam takungan sementara itu.
“Pada minggu ini kita akan mulakan perbincangan awal yang mana kita perlu kenal pasti lokasi, sesuai bagi membina kemudahan ini, turut diperincikan adalah pemilikan tanah dan aspek berkaitan yang lain.
“Selepas kami mendapat ulasan teknikal, kesesuaian lokasi, kita akan pastikan pembinaan projek ini disegerakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.