MBMB GAZETKAN PUSAT HENTIAN BECA MELAKA
AYER KEROH 6 September – Tujuh Pusat Hentian Beca sekitar Banda Hilir, digazetkan menerusi garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata lima hentian iaitu Menara Taming Sari; Melaka Historical Vehicle Park; Dataran Sungai Melaka, Medan Samudera dan Bangunan Stadthuys akan beroperasi pada hari biasa.
Katanya, dua lagi hentian iaitu Bangunan Madonna dan Hard Rock Cafe sebagai tambahan pula beroperasi dari Jumaat mulai jam 6 petang hingga jam 1.01 pagi Isnin, bersempena pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.
“Semasa proses permohonan memperbaharui lesen, pengayuh beca akan memilih Pusat Hentian Beca mengikut kesesuaian mereka. Jadi mereka perlu ikut garis panduan yang sudah kita tetapkan.
“Mungkin ada yang mahu tukar Pusat Hentian Beca dibolehkan, tetapi mereka perlu membuat bayaran RM50 kepada MBMB. Selepas menghantar penumpang dan dalam perjalanan balik ke hentian, pengayuh beca masih boleh mengambil penumpang baharu, tidak menjadi masalah,” katanya pada sidang media Garis Panduan Pengayuh Beca Negeri Melaka di MBMB Graha Makmur, di sini, hari ini.
Shadan berkata, penetapan Pusat Hentian Beca itu bertujuan memudahkan aspek pengurusan pengayuh beca dan aduan berhubung perkhidmatan itu yang juga antara ikon pelancongan bagi Negeri Melaka.
“Kalau ada aduan mudah untuk kita tahu beca itu dari hentian yang mana, lebih cepat kenal pasti siapa pengayuhnya. Selepas ini setiap beca akan dilengkapi tanda pengenalan diri pengayuh, kita juga sediakan kod ‘QR’ jadi boleh imbas untuk dapatkan maklumat.
“Penambahbaikan dilaksanakan ini adalah demi keselesaan penumpang dan kebaikan buat pengayuh beca itu sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.