MBMB belanja RM44 juta sedia perkhidmatan kelas pertama

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 3 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah membelanjakan sebanyak RM44 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan serta servis dan perkhidmatan kepada rakyat sehingga Mei tahun ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata pada tahun lalu MBMB telah membelanjakan sebanyak RM58 juta bagi tujuan yang sama.

Katanya, MBMB membelanjakan kos tersebut bagi menyediakan pelbagai kemudahan sama ada langsung atau tidak langsung kepada seluruh kawasan pentadbirannya bagi menyediakan perkhidmatan kelas pertama kepada warga bandaraya.

“Antara kerja-kerja yang MBMB turut laksanakan adalah kutipan sisa domestik dan sisa pukal oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan pemotongan rumput.

“Turut dilaksanakan pembersihan longkang; penyediaan prasarana; penyediaan lampu awam dan pencahayaan serta menaik taraf kemudahan serta infrastruktur.

“Pihak MBMB sentiasa memastikan semua perkhidmatan yang diberikan dapat dirasai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Hari Bertemu Pelanggan MBMB 2024 di Dewan Taming Sari, Graha Makmur, di sini, hari ini.

Menurut Shadan, MBMB tidak ketinggalan turut terlibat dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), yang mana pihaknya bertanggungjawab dari segi keceriaan di sekitar kawasan pelancongan utama di negeri ini.

“Bagi program TMM2024 iaitu Melaka Bila Larut Malam kali kedua pada 13 Julai depan, MBMB bersedia dalam memastikan keceriaan dan kesediaan kawasan dalam menerima kebanjiran pengunjung.

“Saya yakin pengalaman pertama menunjukkan kehadiran pengunjung yang ramai. Program kali kedua akan mendapat sambutan lebih hangat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post Guru puji inisiatif Ketua Menteri ‘bugarkan’ sejarah di Melaka
Next post Melaka tamat tender kantin sekolah jual makanan tidak sihat
Ubah saiz-+=