
MBMB ANTARA 20 BANDAR PALING BAHAGIA 2025
BANDA HILIR 7 April – Sebanyak 200 belon diagihkan kepada orang ramai di perkarangan Jam Besar Banda Hilir sebagai simbolik pengumuman Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebagai antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia Tahun 2025.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, acara itu dilaksanakan bersempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Aidilfitri dan Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia peringkat MBMB pada 5 April lalu.
Katanya, acara telah dimulakan dengan persembahan kebudayaan oleh artis budaya MBMB dan diteruskan dengan penyampaian plak dan Sijil Anugerah Bandar Paling Bahagia 2025.
“Saya menerima anugerah itu yang disampaikan sendiri oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin kepada MBMB.
“Alhamdulillah Melaka Bila Larut Malam Edisi Aidilfitri juga berlangsung dalam suasana meriah meskipun kita masih dalam ‘mood’ beraya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hadir sama menyaksikan penyerahan anugerah itu adalah Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Melaka(PLANMalaysia@Melaka) TPr. Abdulhan Abd Lamit.
Untuk rekod, MBMB antara 20 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara yang menerima pengiktirafan berkenaan tahun ini.
Antara yang turut tersenarai menerima pengiktirafan sama adalah Bandar Jasin di bawah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.