MBMB ajak lebih banyak sekolah sertai penggredan tandas

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TELOK MAS 6 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengalu-alukan sekolah dibawah pentadbirannya untuk turut serta dalam penggredan tandas dalam seperti yang dijalankan di agensi kerajaan yang lain termasuk stesen minyak.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, kejayaan yang dirangkul Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu dengan menerima Sijil Penarafan Tandas Lima Bintang akan menjadikannya sebagai perintis kepada sekolah lain untuk turut serta.

Beliau berkata, untuk kategori sekolah penggredan itu baru dilaksanakan tahun ini, namun bagi premis lain seperti jabatan kerajaan, stesen minyak dan kedai makan ia sudah dijalankan sebelum ini.

“Kategori sekolah tahun ini baru bermula dan kita sasarkan untuk tahun depan semua sekolah lain dibawah pentadbiran MBMB dapat sertai penggredan ini dan SK Padang Temu sebagai contohnya kepada sekolah yang lain.

“Saya akan minta Jabatan Landskap dan Kebersihan MBMB untuk berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membuat pemberitahuan agar selepas ini sekolah-sekolah lain akan mengikut langkah sama yang dibuat oleh SK Padang Temu ini.

“Menerusi penggredan ini kita boleh tukar minda kelas ketiga kepada kelas pertama seperti sekarang ini sudah ada beberapa perubahan dalam kalangan pelajar daripada aspek kebersihan,” katanya.

Shadan berkata demikian ketikan ditemui selepas menyempurnakan Program Generasi Wawasan MBMB Dan Penggredan Tandas Awam Tahun 2023 yang turut dihadiri Guru Besar SK Padang Temu Nor Hamizah Daud, di SK Padang Temu, semalam.

Menurut beliau, penekanan aspek kebersihan yang diterapkan dalam kalangan murid memberi impak yang besar bukan sahaja kepada kesejahteraan sekolah malah negeri dan juga negara.

“Didikan ini bermula dari sekolah jadi dengan apa yang sudah diterapkan berkaitan kebersihan mereka boleh praktikkan segala aktiviti di sekolah apabila berada diluar khususnya di tempat awam seperti ketika menggunakan tandas awam.

“Saya berkeyakinan usaha yang dibuat oleh Guru Besar SK Padang Temu ini sebenarnya hasil bukan hanya untuk sekolah sahaja tetapi juga untuk negeri dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1581
Kongsi :
Previous post Remaja lelaki ditahan bantu siasatan kes kanak-kanak maut
Next post Suntik semangat pelajar kurang berkemampuan
Ubah saiz-+=