MBI tambah baik sistem perparitan sejak tahun lepas elak banjir kilat
IPOH, 23 Jan – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menambah baik sistem perparitan di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu sejak tahun lepas bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata ia merangkumi kerja-kerja mengorek, membersihkan, melebar serta mendalamkan sistem perparitan.
“Kita (MBI) juga akan membaiki dan mengambil tindakan segera ke atas sistem perparitan yang mempunyai masalah walaupun telah menjalani proses penambahbaikan seperti disuarakan sesetengah penduduk.
“Banjir kilat yang berlaku baru-baru ini bagaimanapun tidaklah seteruk seperti yang diramalkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian inisiatif Projek Light Di Ipoh oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi di Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar di sini malam tadi.
Rabu lepas, beberapa kawasan melibatkan Taman Perpaduan, Taman Cempaka, Bandar Seri Botani, Tambun, Greentown serta berhampiran Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Stadium Badminton di sini mengalami banjir kilat dengan paras air dianggarkan naik hingga 0.5 meter.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu turun padang dan mengambil langkah sewajarnya terhadap masalah longkang tersumbat bagi memastikan saluran longkang mengalir dengan baik khususnya ketika musim hujan.
Sementara itu, Nolee Ashilin berkata Projek Light tersebut merupakan inisiatif lanjutan daripada program Art In The City oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Think City.
Beliau berkata projek itu dilihat mampu menghidupkan bandaraya Ipoh menerusi seni, warisan dan budaya.
Katanya Projek Light Di Ipoh mempamerkan sembilan menara jam yang terdapat di negeri ini yang dibina menggunakan blok kaca dan dipasang lampu diod pancaran cahaya (LED) berkuasa 100 peratus tenaga solar.
Menurutnya Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar dipilih sebagai tapak lokasi projek itu berdasarkan reputasinya sebagai lokasi nostalgik bagi penduduk Ipoh sejak pembinaannya pada tahun 70-an selain dataran terbuka menempatkan tapak sebuah menara jam bersejarah dan medan selera yang popular dengan juadah kegemaran orang ramai.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.