MBI pasang lebih 1,000 perangkap tikus di pasar, medan selera
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata dalam tempoh pelaksanaan Kempen Kawalan Tikus di Pasar Besar Ipoh dari 6 hingga 21 Jun lepas pula, 360 perangkap telah dipasang dan 91 ekor tikus telah ditangkap.
“Kempen ini diadakan sebagai usaha membasmi urungan tikus di pasar-pasar awam MBI untuk tahun ini. Aktiviti kempen kawalan tikus ini telah mula dijalankan pada 6 Jun dan akan berlanjutan hingga 31 Ogos,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini dan menambah aktiviti itu selaras dengan sasaran Ipoh Bandaraya Terbersih 2023.
Pelaksanaan Pelan Tindakan Pemantauan Dan Kawalan Tikus (PTPKT 2.0) di pihak berkuasa tempatan (PBT) katanya telah mula dilaksanakan pada 2022 iaitu di bawah Garis Panduan Kawalan Tikus di PBT.
Beliau berkata Unit Kawalan Vektor, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI telah memilih Pasar Besar Ipoh, Pasar Pasir Pinji dan Pasar Pasir Puteh untuk dijalankan kempen ini secara berfasa dan seterusnya ke semua pasar dan medan selera milik MBI.
Mengulas lanjut, Rumaizi berkata kempen ini antara lain bertujuan mencegah penularan pelbagai jenis penyakit bawaan tikus seperti Leptospirosis, Hawar (plaque), tifus, jangkitan cacing dan pelbagai jenis virus serta bakteria.
Ia juga bagi mengurangkan masalah infestasi (urungan) tikus di kawasan PBT meliputi pasar awam dan medan selera, melaksanakan kajian indeks tikus, penilaian risiko persekitaran urungan tikus serta merangka dan melaksanakan tindakan kawalan dan mitigasi.
“Punca utama masalah urungan tikus di pasar-pasar awam disebabkan oleh sisa jualan ikan, sayur dan buah-buahan, lubang di persekitaran bangunan pasar, bekas-bekas penyimpanan polisterin atau kotak kadbod yang tidak bersih serta disimpan secara tidak teratur,” katanya.
Justeru, beliau berkata peniaga-peniaga pasar awam perlu memberi kerjasama termasuk aspek pelupusan sisa jualan ikan, sayur dan buah-buahan dengan cara membuang sisa ke dalam plastik sampah dan mengikatnya dengan sempurna sebelum dibuang ke dalam tong sampah berpenutup.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.