Mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam gaung
SEREMBAN, 21 Mac – Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Lama Bukit Putus, Paroi di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu pada kira-kira 11.15 pagi oleh anggota Pejabat Jabatan Perhutanan Ulu Bendul, Kuala Pilah.
Beliau berkata anggota itu memaklumkan telah didatangi oleh seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang menemukan mayat mangsa ketika berjoging dan mengambil gambar di kawasan tersebut.
“Anggota itu bersama seorang rakan mengikut lelaki tersebut ke lokasi yang dinyatakan dan mendapati terdapat satu mayat tertiarap dalam gaung di bawah jambatan. Lokasi kejadian adalah jauh dari kawasan perumahan dan sunyi.
“Susulan itu, polis bersama pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) serta Unit K9 IPKNS dikerahkan ke lokasi kejadian. Unit K9 cuba mengesan bahan bukti tetapi tidak menjumpai sebarang kesan yang boleh membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan.
Nanda berkata siasatan awal forensik juga tidak dapat memastikan punca kematian serta unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
Beliau berkata punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan oleh Jabatan Patologi Hospital Tuanku Ja’afar.
Katanya mangsa disyaki sudah lama meninggal dunia dan keadaan mayat yang dikerumuni ulat turut menyukarkan polis mendapatkan barangan bagi tujuan pengecaman untuk mengenal pasti identiti mangsa.
Nanda juga berkata mangsa berketinggian 1.39 meter, bertubuh kecil, berpakaian seluar trek dan kemeja T hitam selain tidak memakai barang kemas serta kuku pendek tidak diwarnakan.
Katanya mereka yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.