Sorting by

×

Mayat wanita ditemui terkunci dalam MPV

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MACHAP 30 Apr. – Mayat seorang wanita ditemui terkunci dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di sebuah kebun kelapa sawit, di Jalan Kolam Machap Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mayat wanita berusia 43 tahun itu ditemukan orang awam di dalam Toyota Avanza sekitar 10 pagi tadi.

Menurutnya, ketika dijumpai MPV berwarna biru itu berkunci di lokasi kira-kira 800 meter dari jalan utama dan polis turut menemukan satu balang berisi abu disyaki dibakar sendiri oleh mangsa untuk membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu

“Pihak polis turut menemukan botol dan tin arak berdekatan kenderaannya yang disyaki diminum pengadu sebelum meninggal dunia.

“Manakala pemeriksaan dalam kereta turut menemui sepucuk surat yang meminta polis menghubungi individu bernama ‘Miss Peggy Chek’ yang akan pergi ke rumah mangsa untuk membawa anak perempuan mangsa menguruskan kematiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, ujarnya, Jabatan Forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berada di lokasi kejadian dan pasukan bomba membantu membuka pintu kenderaan itu yang berkunci dari dalam.

“Wanita tersebut dipercayai telah meninggal dunia sejak dua hari lalu kerana lemas dalam kereta dan semakan MyKad mendapati mangsa adalah orang hilang yang dilaporkan pada Rabu lalu.

“Pemeriksaan pada mangsa juga tidak menjumpai apa-apa kecederaan yang disyaki berunsur jenayah.

“Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1983
Kongsi :
Previous post Lima premis dipotong bekalan elekrik, disyaki jalankan judi haram
Next post Kalah hatrik di Jebat
Ubah saiz-+=