Mayat reput tepi jalan berkemungkinan orang hilang
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan awal mendapati terdapat persamaan mangsa dengan individu yang dilaporkan hilang sebelum ini dan pihaknya masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan identiti.
“Siasatan juga menjurus kepada kebarangkalian mangsa telah dibunuh di tempat lain dan dicampak di situ jadi kita akan siasat lebih mendalam melalui satu pasukan khas yang telah ditubuhkan untuk kes ini.
“Kita akan siasat kenapa dia dibunuh dan lokasi sebenar dia dibunuh dan ia dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat AMANITA PDRM Perak 2022 di Taman Pelangi dekat sini hari ini.
Pihak media difahamkan keluarga mangsa telah membuat pengecaman berdasarkan tatu pada tangan dan jari, telefon bimbit serta pakaian mangsa ketika dilaporkan hilang.
Wanita berusia 23 tahun itu kali terakhir dilihat semasa keluar bekerja di sebuah kilang di Jelapang dekat Ipoh, minggu lepas.
Semalam media melaporkan mayat wanita ditemukan dalam kawasan semak, selepas polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta yang terbabas di tepi longkang.
Anggota polis yang tiba untuk menjalankan siasatan mengenai kemalangan itu telah menjumpai mayat tersebut lebih kurang dua meter dari lokasi kejadian.
Terdahulu, Mohd Yusri berkata Taman Pelangi merupakan taman angkat kelapan AMANITA di Perak selepas Taman Sungai Rokam, Ipoh; Taman Wah Loon, Kampar; Taman Baru Jalong, Sungai Siput; Taman Fasa 2, Seri Manjung; Taman Gemilang, Seri Iskandar; Taman Chandan Puteri, Kuala Kangsar dan Taman Rakyat Kamunting, Taiping.
Seramai 1,320 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak terlibat dalam unit berkenaan membabitkan 186 pegawai kanan polis dan 1,134 anggota, katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.